Selasa, 20 Ogos 2019 | 2:08pm
Nordin (tiga dari kiri) melihat proses pembuatan ais oleh pekerja Koperasi Setiajaya Pulau Redang Terengganu Bhd di kilang ais Pulau Redang, Terengganu.
Nordin (tiga dari kiri) melihat proses pembuatan ais oleh pekerja Koperasi Setiajaya Pulau Redang Terengganu Bhd di kilang ais Pulau Redang, Terengganu.

RM450,000 bina kilang ais di Pulau Redang

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM) menyalurkan bantuan pinjaman sebanyak RM450,000 kepada Koperasi Setiajaya Pulau Redang Terengganu Bhd bagi membina sebuah kilang ais di Pulau Redang, Terengganu.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Nordin Salleh, berkata melalui pembinaan kilang itu, pengusaha chalet, restoran dan bot serta nelayan tidak perlu lagi ke darat untuk mendapatkan bekalan bahan itu, sekali gus mengurangkan kos pengangkutan.

“Kilang ais koperasi ini dijangka menjadi tumpuan semua pengusaha dan usahawan kecil di Pulau Redang kerana kilang ini adalah satu-satunya kilang ais yang beroperasi di pulau ini.

“Saya berharap masyarakat dapat memanfaatkan sepenuhnya bantuan yang diberikan kerajaan supaya dapat menjana pendapatan kepada koperasi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian kilang ais itu di Pulau Redang, Ahad lalu. Yang turut hadir, Pengarah SKM Terengganu, Wan Abdul Halim Wan Abdul Razak dan Pengerusi Jawatankuasa Koperasi-Koperasi Terengganu (KOPTER), Datuk Hashim Mamat.

Nordin berkata, pada tahun lalu, sebanyak RM5.16 juta bantuan pembangunan disalurkan kerajaan melalui SKM kepada 120 koperasi di negara ini, manakala bagi pinjaman Tabung Modal Pusingan-Jabatan Pembangunan Koperasi (TMP-JPK) pula, sebanyak RM44.51 juta diberikan kepada 34 koperasi.

“Di Terengganu, sebanyak RM2.63 juta bantuan pembangunan disalurkan kepada 37 koperasi dan RM6.89 juta diberikan dalam bentuk tabung TMP-JPK.

“Bantuan ini membolehkan sektor koperasi terus berkembang maju dan berdaya saing dalam pelbagai cabang perkhidmatan dan perniagaan seperti kredit dan pelaburan, pertanian dan penternakan, pemborongan dan peruncitan, perkhidmatan, pembangunan hartanah dan lain-lain aktiviti pengguna,” katanya.

Berita Harian X