Sabtu, 17 Ogos 2019 | 11:11am
Pengarah Urusan Johor Land Berhad Lukman Abu Bakar (kiri) menunjukkan rumah contoh syarikat itu kepada Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Komunikasi dan Multimedia Johor Dzulkefly Ahmad pada Pameran Hartanah MyRumah di Komtar JBCC, semalam. Turut kelihatan Ketua Pegawai Eksekutif Interim NSTP Mustapha Kamil Mohd Janor (dua, kanan). - Foto BERNAMA

Hari kedua MyRumah Johor Bahru meriah

JOHOR BAHRU: Hari kedua Pameran hartanah, MyRumah 2019 anjuran Kumpulan The New Straits Times Press (M) Bhd (NSTP) di Komtar JBCC, dekat sini, menyediakan pelbagai acara menarik kepada pengunjung.

Siri jelajah ketiga pameran hartanah dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan itu menampilkan empat sesi ceramah bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, dibarisi penceramah jemputan dengan pelbagai tajuk menarik.

Hari ini, seawal jam 11 pagi, acara dimulakan dengan ceramah yang disampaikan oleh wakil MyCribBooking.com, Akmal Nizam dengan tajuk ‘adakah ‘homestay’ Johor bersedia untuk Visit Malaysia 2020’.

Sesi ceramah diteruskan pada jam 2.10 petang oleh Pengasas Pejuang Hartanah, Ahyat Ishak, dengan topik ‘4 soalan ajaib sebelum beli rumah pertama’.

Pengunjung melihat tawaran perumahan yang disediakan pempamer ketika Majlis Pelancaran Siri Ketiga Pameran Hartanah MyRumah 2019 di Komtar JBCC, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim
Pengunjung melihat tawaran perumahan yang disediakan pempamer ketika Majlis Pelancaran Siri Ketiga Pameran Hartanah MyRumah 2019 di Komtar JBCC, Johor Bahru. - Foto Hairul Anuar Rahim

Penceramah ketiga ialah pada jam 3 petang oleh Jurubank, Bella Leana, dengan topik menarik ‘pembiayaan rumah pertama’.

Tidak ketinggalan, sesi ceramah yang terakhir pada hari ini akan diteruskan dengan Ketua Sektor Awam Takaful Ikhlas, Azrina Torman, dengan ceramah bertajuk ‘kontrak takaful pembiayaan perumahan penjawat awam’.

MyRumah 2019 di Johor menawarkan lebih 3,400 unit kediaman dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM2.2 bilion.

Pameran hartanah MyRumah yang memasuki tahun keempat itu disertai oleh lapan pemaju iaitu Bukit Pelali Properties Sdn Bhd, Dynasty View Sdn Bhd, GuocoLand (Malaysia) Berhad, Johor Land Berhad, Jabatan Perumahan Negara (JPN), Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS), Seri Alam Properties Sdn Bhd dan UDA Land (South) Sdn Bhd.

Turut serta, MBSB Bank Berhad, Lionmas Furnishers (M) Sdn Bhd, Oriental Food Industries Sdn Bhd, Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Takaful Ikhlas Bhd.

Terdahulu, siri pertama MyRumah dianjurkan di pusat beli-belah MyTown, Kuala Lumpur, pada Mac lalu dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung sebelum diteruskan ke pusat beli belah AEON Bandaraya Melaka, bulan lalu.

Selepas Johor Bahru, siri jelajah pameran hartanah MyRumah 2019 akan berlangsung di Pulau Pinang dan Shah Alam.

Berita Harian X