Jumaat, 16 Ogos 2019 | 6:32pm
JKKP Terengganu menyita 11 operasi lif di Terengganu atas kegagalan pemiliknya mematuhi Akta Kilang dan Jentera 1967. - NSTP/Ghazali Kori

JKKP Terengganu sita 11 lif

KUALA TERENGGANU: Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Terengganu menyita 11 operasi lif di negeri ini atas kegagalan pemiliknya mematuhi Akta Kilang dan Jentera 1967, dalam tempoh tujuh bulan tahun ini.

Surat larangan dan notis sitaan itu dikeluarkan berikutan lif terbabit mengalami kerosakan teruk pada alat keselamatan utama serta tidak dibaikpulih oleh pemunya lif.

Pengarah JKKP negeri, Mohd Zahari Hitam, berkata antara alat keselamatan utama lif yang mengalami kerosakan teruk dan membahayakan keselamatan pengguna ialah kerosakan pada tali sawat, kunci pintu lif, motor dan suis utama serta jentera kawalan kelajuan tidak berfungsi.

Beliau berkata, pemunya lif yang diberi notis sitaan diberi tempoh untuk membaiki kerosakan dan tindakan saman serta kompaun akan dikeluarkan jika masih meneruskan operasi lif.

Pengarah JKKP negeri, Mohd Zahari Hitam. - NSTP/Imran Makhzan

"Jumlah keseluruhan lif yang masih aktif beroperasi di seluruh negeri termasuk di jabatan dan agensi kerajaan dan badan berkanun adalah 487 unit, tidak termasuk 23 unit di Program Perumahan Rakyat (PPR)," katanya kepada BH di sini, hari ini.

Sebelum ini, BH melaporkan mengenai 6,000 lif tiada sijil kelayakan (CF) yang menjadi antara penyebab risiko seperti kejadian lif menggelungsur di PPR Kerinchi, Kuala Lumpur yang mengakibatkan lapan mangsa cedera.

Ketika diminta mengulas tindakan punitif dilakukan JKKP untuk tahun ini, Mohd Zahari berkata, lapan surat arahan pematuhan berkaitan keperluan mengikut peraturan Akta Kilang dan Jentera 1967 dikeluarkan dan perlu diambil tindakan oleh pemunya lif.

Katanya, antara kesalahan dilakukan pemunya lif sehingga menyebabkan JKKP terpaksa mengeluarkan surat arahan pematuhan adalah tidak memaparkan nombor panggilan kecemasan syarikat penyelenggaraan jentera.

"Pemunya lif juga perlu melantik firma penyelenggara yang mendapat tauliah daripada JKKP melalui kontrak perjanjian penyelenggaraan lif," katanya.

Berita Harian X