Jumaat, 16 Ogos 2019 | 5:03pm
PENGERUSI LKIM, Muhammad Faiz Fadzil semasa sidang media pada Majlis Amal Ihtimam Korban Bank Islam Malaysia Berhad di Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Bank Islam rai 101 asnaf

GEORGETOWN: Seramai 101 asnaf dalam kalangan penduduk dan komuniti nelayan di Kampung Nelayan Teluk Tempoyak di sini, diraikan pada Program Amal Ihtimam Korban anjuran Bank Islam.

Program dianjurkan bersama Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) sebagai rakan strategik itu diadakan bagi memberi peluang golongan kurang berkemampuan merasai nikmat meraikan kemuliaan ibadah korban sempena Aidiladha.

Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff, berkata Program Amal Ihtimam Korban ini adalah acara tahunan Bank Islam sejak dua tahun lalu, bagi menyantuni mereka yang memerlukan.

“Program ini adalah acara tahunan yang diadakan di semua wilayah operasi kami sebagai sebahagian daripada usaha untuk berkongsi rezeki yang diperoleh bersama komuniti setempat, khususnya bagi mereka yang kurang berkemampuan.

“Antara penerima manfaat terdahulu adalah masyarakat Orang Asli di Batang Kali, Selangor, golongan asnaf di Ranau, Sabah, dan komuniti Rohingya di Alor Star, Kedah,” katanya berucap merasmikan program berkenaan, di sini, baru-baru ini.

Hadir sama, Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad.

Sebanyak lima ekor lembu dikorbankan untuk diagih kepada penduduk, selain sumbangan zakat Bank Islam berjumlah RM26,500 yang diberikan kepada 101 asnaf terbabit.

Selain itu, Mohamed Iran berkata, Program Amal Ihtimam Korban turut membabitkan penyertaan golongan belia dan kanak-kanak, menerusi dua aktiviti sampingan yang diadakan sepanjang program berlangsung.

“Kami turut mengadakan Kursus Asas Sembelihan untuk anak-anak berumur 13 tahun ke atas dan Kursus Pengurusan Jenazah untuk golongan dewasa sebagai pengisian program demi meningkatkan penghayatan umum terhadap nilai agama,” katanya.

Berita Harian X