Rabu, 14 Ogos 2019 | 3:13pm
PENGERUSI Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Muhammad Faiz Fadzil (dua dari kanan) menyampaikan sumbangan zakat sambil diperhatikan Ketua Pegawai Operasi Bank Islam Malaysia Berhad, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff (kanan) pada Majlis Amal Ihtimam Korban Bank Islam Malaysia Berhad di Teluk Tempoyak, Batu Maung, Pulau Pinang. - Foto Shahnaz Fazlie Shahrizal

Taufan Lekima: Bantuan RM2,000 kepada nelayan terjejas

GEORGETOWN: Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mengumumkan bantuan RM2,000 kepada setiap nelayan yang terjejas akibat ribut susulan Taufan Lekima, Jumaat lalu.

Pengerusinya, Muhammad Faiz Fadzil, berkata bantuan itu akan diberikan kepada 176 keluarga nelayan di utara Semenanjung yang kediaman masing-masing rosak akibat ribut berkenaan.

“Proses dokumentasi masih berjalan dan nelayan yang mengalami kerugian akibat ribut perlu membuat laporan polis dan berjumpa dengan persatuan nelayan di kawasan masing-masing.

“Bantuan ini diharapkan sedikit sebanyak dapat membantu meringankan beban mereka,” katanya ketika ditemui pada Program Amal Ihtimam Korban Bank Islam di Kampung Nelayan Teluk Tempoyak di sini, hari ini.

Hadir sama, Ketua Pegawai Operasi Bank Islam, Mohamed Iran Moriff Mohd Shariff, dan Pengerusi Persatuan Nelayan Pulau Pinang, Nazri Ahmad.

Sebanyak lima ekor lembu dikorbankan untuk diagih kepada penduduk dan masyarakat nelayan dalam program anjuran Bank Islam bersama LKIM sebagai rakan strategik itu.

Sementara itu, Muhammad Faiz berkata LKIM dalam usaha menambah kemudahan `Individual Quick Freezing' (IQF) di setiap negeri bagi meningkatkan pengeluaran ikan QFish, iaitu ikan segar beku yang terdiri daripada ‘ikan rakyat’.

Katanya, kemudahan IQF kini hanya ada di Besut, Terengganu, dan di Kuala Kedah, Kedah, dengan ia dijangka ditambah di beberapa negeri lain pada masa akan datang.

“Ikan segar beku iaitu ikan popular seperti kembung, selar dan selayang ini biasanya dijual pada harga murah iaitu RM10 sekilogram.

“Dengan pertambahan IQF, ia dijangka mencapai agenda LKIM bagi mencergaskan industri perikanan dalam usaha kerajaan untuk mengurangkan kos sara hidup dan pada masa sama, meningkatkan pendapatan nelayan,” katanya.

Berita Harian X