Khamis, 8 Ogos 2019 | 1:29pm
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjawab soalan pada sesi soal jawab sempena Sidang Dewan Negeri, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam
Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Mukhriz Mahathir menjawab soalan pada sesi soal jawab sempena Sidang Dewan Negeri, Mesyuarat Pertama Penggal Kedua, Dewan Undangan Negeri Kedah ke-14 di Wisma Darul Aman. - Foto Sharul Hafiz Zam

KXP siap dalam tempoh tiga tahun

ALOR SETAR: Lapangan Terbang Antarabangsa Kulim (KXP) yang diterajui KXP AirportCity Holding Sdn Bhd dijangka dapat disiapkan dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Besar, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata kerja-kerja pembinaan dijadualkan bermula pertengahan tahun depan selepas pelan induk siap sepenuhnya.

“Insya Allah, bila dah sediakan pelan induk, maka dalam awal tahun depan syarikat-syarikat (pelabur) ini akan bida. Keputusan (bidaan) mungkin akan dibuat pada suku kedua tahun depan dan kita harapkan kerja-kerja menyediakan tanah akan mula pertengahan tahun depan.

“Mahu siapkan KXP ini, saya kira dalam tempoh tiga tahun sekirang-kurangnya,” katanya pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah, di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas menjawab soalan tambahan Dr Robert Ling Kui Ee (PKR - Sidam) yang ingin mengetahui bila projek pembinaan KXP akan dimulakan.

Terdahulu, Mukhriz berkata, keutamaan pembinaan KXP bertujuan menyediakan perkhidmatan kargo yang dapat memenuhi permintaan industri di Pulau Pinang, utara Perak, Perlis dan juga selatan Thailand tanpa menganggu operasi Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang (LTAPP).

“Kapasiti penumpang LTAPP dilaporkan seramai 6.5 juta setahun tapi sebenarnya sudah meningkat kepada 7.2 juta setahun.

“Menerusi laporan media, Kerajaan Pulau Pinang mahu kapasiti LTAPP ditingkatkan kepada 12 juta penumpang.

Apabila LTAPP jadi tumpuan pesawat penumpang, pesawat kargo ini berkurangan, lebih-lebih lagi lapangan terbang itu memiliki satu landasan saja,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Muhammad Sanusi Md Nor (PAS - Jeneri) yang ingin mengetahui tindakan kerajaan negeri terhadap bantahan pembinaan KXP oleh Kerajaan Pulau Pinang.

Mukhriz berkata, Kerajaan Persekutuan komited dalam menjayakan KXP dan tiada sebarang unsur yang menghalang dari projek berkenaan dilaksanakan.

“Bersebelahan KXP, akan dibangunkan Hab Industri Pembuatan dan Logistik yang dah dapat pembiayaan RM300 juta bagi pembinaan struktur.

“Kerajaan negeri juga akan menentukan jajaran projek pembinaan Lebuh raya Koridor Utara membabitkan laluan Bandar Baharu - Sungai Petani dan Bandar Baharu - Jambatan Sultan Abdul Halim Muadzam Shah yang juga dibiayai Kerajaan Persekutuan,” katanya.

Berita Harian X