Rabu, 7 Ogos 2019 | 2:57pm
Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bercakap pada sidang media persidangan Dewan Undangan Negeri Yang Kelima Belas Penggal Kedua di bangunan Dewan Undangan Negeri Sabah hari ini. - Foto BERNAMA

'Tunggu PM umum perkara dipersetujui isu autonomi Sabah, Sarawak'

KOTA KINABALU: Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad akan mengumumkan beberapa perkara yang dipersetujui berhubung isu autonomi untuk Sabah dan Sarawak.

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata dalam mesyuarat Jawatankuasa Khas terkini pada 23 Julai lalu, persetujuan sudah dicapai dalam beberapa isu.

Bagaimanapun beliau menyerahkan kepada Perdana Menteri untuk membuat pengumuman itu mengikut peruntukan di bawah Perlembagaan Persekutuan dan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962.

“Usaha kerajaan negeri ke atas tuntutan kajian semula Pemberian Khas kepada Sabah iaitu 40 peratus hasil bersih yang diperoleh dari Sabah bukanlah sesuatu yang baharu. Kerajaan negeri akan terus menuntut apa yang sepatutnya menjadi hak kepada rakyat dan negeri ini.

“Namun sikap keterbukaan pemimpin Kerajaan Persekutuan yang baharu di bawah pimpinan Perdana Menteri, sudah membuka peluang dan ruang kepada kerajaan negeri untuk mengemukakan tuntutan selaras dengan peruntukan yang terkandung di dalam Perlembagaan Persekutuan.

“Komitmen dan kesungguhan Kerajaan Persekutuan ke atas perkara ini dibuktikan melalui penubuhan Jawatankuasa Khas Kabinet untuk menyemak pelaksanaan MA1963. Kita sebagai kerajaan negeri akan teruskan usaha untuk menuntut apa juga yang menjadi hak kepada rakyat dan negeri ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Dr Jeffrey Kitingan (STAR-Tambunan) bilakah kerajaan akan menuntut tunggakan RM1.0 trilion atau 40 peratus hasil bersih yang diperuntukkan dalam Artikel 112C dan Jadual Ke-10 Bahagian V Perlembagaan Persekutuan pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah di sini hari ini.

Mohd Shafie berkata banyak pendekatan lain yang boleh diambil untuk menuntut hak dan hasil daripada mengheret Kerajaan Persekutuan ke mahkamah.

Dalam pada itu beliau berkata jawatankuasa khas ini bermatlamat untuk menyemak dan membuat syor kepada kerajaan berhubung pelaksanaan hak dan autonomi Sabah serta Sarawak sejajar dengan peruntukan yang terkandung dalam Perlembagaan Persekutuan, MA63 dan Laporan Jawatankuasa Antara Kerajaan 1962.

“Kerajaan sudah mengemukakan satu draf garis panduan bagi pelaksanaan kajian semula Pemberian Khas yang lebih berstruktur kepada Kerajaan Persekutuan pada 9 Julai lalu.

“Pada masa ini kerajaan masih menantikan maklum balas daripada Kerajaan Persekutuan berhubung perkara berkenaan.

“Tuntutan kajian semula Pemberian Khas Sabah ini sudah dibincangkan di pelbagai peringkat jawatankuasa yang berkaitan dan mesyuarat Jawatankuasa Khas Kabinet yang diadakan pada 5 Mac lalu sudah setuju kajian semula pemberian itu dilaksanakan,” katanya

Berita Harian X