Selasa, 6 Ogos 2019 | 2:54pm
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Madius Tangau. NSTP/Edmund Samunting.
TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Madius Tangau. NSTP/Edmund Samunting.

Sabah tumpu hubungan dagangan dengan negara baharu

KOTA KINABALU: Jerman, Thailand, Korea Selatan dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) antara empat negara dalam perhatian kerajaan negeri bagi mewujudkan hubungan perdagangan yang mampu melonjakkan prestasi ekonomi Sabah.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau, berkata usaha itu bertumpu kepada eksport produk makanan yang dihasilkan di negeri ini.

“Hubungan dengan beberapa rakan dagang sedia ada seperti Australia, India, Singapura, China dan Filipina terus dipertingkatkan. Malah, usaha berterusan juga dijalankan bagi mengenal pasti beberapa negara berpotensi untuk mempromosikan potensi pelaburan di Sabah.

“Ini dilaksanakan Kementerian Perdagangan dan Perindustrian berdasarkan jenis industri. Bagi industri sawit dan logistik, kita bertumpu kepada Indonesia, Brunei, Taiwan, Emiriah Arab Bersatu, Eropah, Amerika Syarikat dan New Zealand,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk James Ratib (BERSATU - Sugut) berhubung prestasi perdagangan negeri ini pada Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah, di sini hari ini.

Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian Sabah, berkata kerajaan negeri turut mensasarkan pasaran baharu bagi industri petroleum negeri iaitu Russia, manakala industri perabot berasaskan kayu bertumpu kepada Jepun dan Vietnam.

Sementara itu, bagi meningkatkan sektor perdagangan negeri, pihak kementerian turut melaksanakan beberapa program penggalakan eksport melalui Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR).

“Antara program terbabit ialah menyertai ekspo antarabangsa seperti Gulfood di Dubai, Foodex di Jepun, Cosmobeauty Seoul di Korea Selatan, Thaifex di Thailand dan Malaysia Fest di Singapura.

“Hasil penyertaan dalam ekspo ini amat baik yang mana setakat Jun tahun ini, usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) yang menyertainya berjaya mendapat jualan dan potensi jualan sebanyak RM89.3 juta dengan 395 kontena setahun,” katanya.

Berita Harian X