Isnin, 5 Ogos 2019 | 2:08pm
PENGARAH JKKP negeri, Rabaayah Daud (kanan) mengadakan sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) Peringkat Negeri Melaka di Hotel A'Famosa Resort, Simpang Ampat. - Foto Rasul Azli Samad

269 lif di Melaka belum perbaharui CF

ALOR GAJAH: Sebanyak 269 daripada 669 lif yang didaftarkan dengan Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Melaka belum memperbaharui Sijil Perakuan Kelayakan (CF) tahun ini.

Pengarah JKKP negeri, Rabaayah Daud, berkata hanya 400 lif jenis kediaman dan komersial yang didaftarkan dengan agensi itu mematuhi peraturan dan prosedur ditetapkan.

“Pemilik lif sama ada jenis kediaman atau komersial perlu mendaftar dalam Sistem Perkhidmatan Dalam Talian (MyKKP) JKKP.

“Ini bagi membolehkan pegawai JKKP membuat pemeriksaan, seterusnya memantau tahap keselamatan lif mengikut garis panduan ditetapkan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Minggu Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSH) peringkat Melaka di Hotel A’Famosa Resort, di sini, hari ini.

Beliau mengulas laporan muka depan BH Ahad, mengenai 6,000 lif tiada CF yang menjadi antara penyebab risiko seperti kejadian lif menggelungsur di Program Perumahan Rakyat (PPR) Kerinchi, Kuala Lumpur yang mengakibatkan lapan mangsa cedera, pada petang Jumaat lalu.

Mengulas lanjut, Rabaayah berkata, secara keseluruhan Melaka bukan dalam kategori kritikal dari aspek kelemahan dalam penyelenggaraan lif.

“Kita boleh katakan yang Melaka masih terkawal, di mana hingga kini kita tidak menerima apa-apa aduan membabitkan kemalangan lif termasuklah di dua PPR di negeri ini iaitu di PPR Krubong dan PPR Tehel.

“JKKP turut melakukan pemeriksaan lif setiap 15 bulan sekali bagi memastikan tahap keselamatan penggunaan lif. Perlu difahami JKKP hanya melakukan pemeriksaan keselamatan, manakala penyelenggaraan dilakukan oleh kontraktor atau firma kompeten dilantik oleh pemilik lif,” katanya.

Ditanya apakah prosedur operasi standard (SOP) sedia ada memadai bagi aspek penyelenggaraan lif, Rabaayah berkata, kerajaan boleh mencontohi Singapura yang mengasingkan prosedur pemeriksaan keselamatan lif kepada dua agensi berbeza.

“Di Singapura mereka mengasingkan peranan pemeriksaan keselamatan lif di bawah dua agensi berasingan iaitu lif jenis kediaman di bawah kementerian seperti Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) manakala agensi seperti JKKP mengendalikan lif untuk sektor komersial,” katanya.

Rabaayah berkata, sudah tiba masanya aspek pemeriksaan keselamatan lif ditambah baik termasuk bekerjasama rapat dengan KPKT serta pihak berkuasa tempatan (PBT) yang lebih dekat dengan perumahan khususnya bagi memperkasakan SOP sedia ada.

Berita Harian X