Ahad, 4 Ogos 2019 | 1:22pm
Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Sabah, Mejin Maginggow. - Foto Avila Geraldine
Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Sabah, Mejin Maginggow. - Foto Avila Geraldine

Kemudahan jalan tarik pelancong ke luar bandar

KOTA KINABALU: Kemudahan jalan raya yang baik ke kawasan destinasi pelancongan luar bandar di negeri ini akan menarik kedatangan lebih ramai pengunjung ke kawasan itu.

Presiden Persatuan Pelancongan Kiulu, Sabah, Mejin Maginggow, berkata banyak kampung yang berpotensi menjadi kawasan tarikan pelancongan termasuk di Kiulu.

Bagaimanapun katanya, disebabkan keadaan laluan yang teruk, harapan komuniti di kawasan berkenaan terbantut.

“Saya melihat sendiri masalah dihadapi pengusaha pelancongan komuniti di Kiulu. Banyak kampung yang berpotensi sebagai kawasan tarikan pelancong tetapi oleh kerana jalan raya yang teruk maka harapan komuniti ini terkubur begitu sahaja.

“Saya percaya dengan adanya jalan raya yang baik, pasti mudah untuk pengunjung datang melawat tempat pelancongan itu,” katanya di sini.

Sehubungan itu Mejin berharap cadangan mewujudkan laluan ke kawasan pelancongan luar bandar di negeri ini dapat dipercepatkan.

“Cadangan untuk mewujudkan jalan itu amat baik tetapi berharap ia dapat diusahakan dalam masa terdekat ini. Bagaimanapun, bukan hanya jalan raya yang penting dan menjadi keperluan tetapi jaringan komunikasi dan internet perlu diberi perhatian sewajarnya,” katanya.

Baru-baru ini, Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Ewon Benedick mencadangkan supaya kategori jalan pelancongan luar bandar diwujudkan bagi memudahkan kerajaan menyediakan peruntukan khas untuk menyelenggara atau menaik taraf jalan berkenaan.

Bagi Presiden Persatuan Pelancongan Kadamaian (KATA), Walter Kandayon, berkata cadangan mewujudkan jalan itu tepat pada masanya kerana pada masa ini belum ada jalan pelancongan di negeri ini.

“Ia adalah satu cadangan yang baik kerana masih ada jalan gravel untuk menuju ke lokasi pelancongan di kawasan kami. Sebagai pengusaha pelancongan luar bandar, kita memang menunggu perkara ini (jalan pelancongan) supaya kerajaan mengiktiraf jalan ke lokasi pelancongan sebagai Jalan Pelancongan Luar Bandar.

“Sudah pasti dengan pengiktirafan jalan itu, masalah berkaitan penyelenggaraan jalan atau dinaik taraf kepada jalan aspal, dapat dilakukan kerajaan,” katanya.

Pada masa ini, lebih 60 pengusaha pelancongan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kadamaian termasuk pengusaha Community Based Tourism (CBT).

Berita Harian X