Jumaat, 2 Ogos 2019 | 6:18pm
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. - NST/Adzlan Sidek
Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun. - NST/Adzlan Sidek

211 permohonan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan lulus

SEREMBAN: Perbadanan Kemajuan Negeri, Negeri Sembilan (PKNNS) sudah meluluskan sebanyak 211 permohonan usahawan mikro bagi pembiayaan Tabung Pembangunan Usahawan Negeri Sembilan (TPUNS).

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata permohonan itu diluluskan oleh Jawatankuasa Kelulusan TPUNS menerusi mesyuarat yang diadakan pada Jun dan bulan lalu.

Beliau berkata, setakat ini sebanyak 900 permohonan daripada usahawan mikro diterima.

“Jumlah dana terkumpul yang akan diagihkan kepada 211 permohonan yang sudah diluluskan ini adalah sebanyak RM623,150.52.

“Bagaimanapun, jumlah itu hanya merangkumi 20 peratus daripada dana keseluruhan.

“Ini bermakna usahawan tempatan masih berpeluang memohon pembiayaan daripada baki 80 peratus peruntukkan itu,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Sijil Perakuan Penerima Geran TPUNS, di sini, hari ini.

Beliau berkata, kewujudan TPUNS adalah bertujuan mempertingkatkan sektor keusahawanan negeri melalui penyediaan bantuan pembiayaan dalam bentuk geran berjumlah RM3 juta.

“Had pembiayaan adalah RM3,000 bagi setiap pemohon dan ini akan memberi manfaat kepada 1,000 usahawan mikro Negeri Sembilan,” katanya.

Mengulas lanjut, katanya, TPUNS adalah sejajar dengan pelan pembangunan keusahawanan negara yang digariskan melalui Dasar Keusahawanan Nasional 2030 (DKN2030).

“DKN2030 yang dirangka oleh Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) menggariskan 21 objektif pembangunan keusahawan negara untuk hala tuju bagi pertumbuhan sektor keusahawan nasional.

“Negeri Sembilan mempunyai 32,721 perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang merangkumi sebanyak 3.6 peratus daripada jumlah keseluruhan PKS di Malaysia.

“Objektif pembiayaan ini bertujuan menambah bilangan usahawan berskala mikro serta meningkatkan perniagaan usahawan sedia ada selain membuka peluang pekerjaan dan merangsang pertumbuhan ekonomi negeri,” katanya.

Berita Harian X