Jumaat, 2 Ogos 2019 | 6:16pm
Kuala Terengganu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini berikutan kebakaran hutan di Sumatera Indonesia. - NSTP/Rozainah Zakaria
Kuala Terengganu mencatatkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) tidak sihat hari ini berikutan kebakaran hutan di Sumatera Indonesia. - NSTP/Rozainah Zakaria

Kurangkan aktiviti luar, elak masalah kesihatan akibat jerebu

KUALA TERENGGANU: Orang ramai terutama mereka yang berisiko seperti penghidap asma dinasihatkan mengambil langkah pencegahan bagi mengelak masalah kesihatan berikutan jerebu di bandar raya ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri, Dr Mohd Jusoh, berkata orang ramai juga perlu mengurangkan aktiviti luar dan memakai penutup hidung jika perlu berada di luar bangunan bagi mengelak risiko masalah kesihatan berkaitan pernafasan dan penyakit konjunktivitis (mata).

Beliau berkata, setakat ini pihaknya tidak menerima peningkatan kes berkaitan masalah pernafasan seperti asma atau penyakit mata iaitu yang paling sinonim dengan kesan akibat jerebu.

Katanya, orang ramai yang mempunyai masalah kesihatan akibat jerebu diminta segera mendapatkan rawatan di klinik kesihatan atau hospital berhampiran bagi mengelak risiko lebih buruk jika lewat berbuat demikian.

“Semua hospital dan klinik kesihatan di negeri ini sudah diarah meningkatkan pemantauan dan pemerhatian terhadap kes akibat jerebu seperti asma serta sakit mata.

“Jika pesakit datang mendapatkan rawatan berkaitan masalah jerebu, rawatan segera akan diberikan kerana kita menjangka pencemaran udara ini akan menyebabkan peningkatan kes serangan asma kepada mereka yang berisiko.

“Selain itu, kita juga menasihatkan orang ramai banyak minum air kosong walaupun tidak dahaga bagi mengekalkan kadar hidrasi, sekali gus mengawal atur suhu badan dan mengelak masalah kesihatan,” katanya kepada BH, hari ini.

Setakat jam 1 tengah hari tadi, laman web Jabatan Alam Sekitar (JAS) merekodkan bacaan Indeks Pencemaran Udara (IPU) di Kuala Terengganu pada tahap tidak sihat dengan bacaan tertinggi 114.

Kadar bacaan IPU di bandar raya ini meningkat sedikit berbanding 112 yang direkodkan jam 9 pagi tadi.

Masalah pencemaran udara itu dikatakan berlaku akibat kebakaran hutan di Sumatera, Indonesia, yang dipercayai membawa jerebu ke Semenanjung.

Berita Harian X