Rabu, 31 Julai 2019 | 3:46pm
Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han. - NSTP/Saddam Yusoff

Warga asing miliki pasport, visa dagang boleh berniaga

SHAH ALAM: Kerajaan Selangor tidak akan mengeluarkan permit perniagaan kecil dan sederhana kepada warga asing, kata Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru, Ng Sze Han.

Bagaimanapun, beliau berkata, warga asing yang memiliki pasport dan visa dagang sah dibenarkan berniaga di negeri ini, tetapi ia terhad bagi perniagaan tertentu saja.

“Pihak berkuasa tempatan (PBT) ada mengeluarkan lesen perniagaan kepada warga asing yang sudah mendaftarkan syarikat mereka dengan Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) dan melampirkan pasport sah serta mempunyai visa dagang.

“Larangan pengeluaran lesen perniagaan kecil dan sederhana selaras dengan Pekeliling Ketua Setiausaha Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan Bil 3 tahun 2008 Pengeluaran Permit Perniagaan Kecil oleh Pihak Berkuasa Tempatan (PBT),” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN), hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Chua Wwi Kiat (DAP-Rawang) yang ingin tahu tindakan diambil kerajaan negeri untuk mencegah pemilikan perniagaan warga asing.

Sze Han berkata, tindakan membatalkan permit perniagaan kecil dan sederhana akan dikenakan jika pemilik memindah milik permit itu kepada warga asing.

“Semua pemilik permit perlu berada di tempat perniagaan sepanjang masa.

“Tindakan membatalkan permit akan diambil terhadap rakyat tempatan yang memindah milik permit perniagaan mereka kepada warga asing atau tidak menjalankan perniagaan terbabit,” katanya.

Berita Harian X