Rabu, 31 Julai 2019 | 12:50pm
EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim.
EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim.

Selangor catat nilai pelaburan sektor perkilangan hampir RM19.66 bilion

SHAH ALAM: Selangor mencatat nilai pelaburan dalam sektor perkilangan kira-kira RM19.66 bilion bagi tempoh April 2018 sehingga Mac 2019.

EXCO Pelaburan, Perindustrian dan Perdagangan, Industri Kecil dan Sederhana (IKS), Datuk Teng Chang Khim, berkata daripada jumlah itu, kira-kira RM8.64 bilion adalah menerusi pelaburan tempatan, manakala pelaburan asing sebanyak RM11.02 bilion.

“Sebanyak 281 projek perkilangan diluluskan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) bagi tempoh April 2018 hingga Mac 2019,” katanya pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini, hari ini.

Beliau menjawab pertanyaan Datuk Mohd Imran Tamrin (BN-Sungai Panjang) yang ingin tahu nilai pelaburan di Selangor sejak Mei 2018.

Mohd Imran juga ingin tahu jumlah perbelanjaan oleh kerajaan negeri dalam usaha menarik pelabur ke negeri ini.

Mengulas lanjut, Chang Khim, berkata Invest Selangor mengeluarkan perbelanjaan bagi melaksanakan program berkaitan pelaburan kira-kira RM20.59 juta, bagi tempoh Januari hingga Disember 2018 dan RM7.11 juta, bagi tempoh Januari hingga Jun 2019.

“Perbelanjaan ini bagi melaksanakan program International Business Summit 2019, program pembangunan dan latihan usahawan dan misi pelaburan ke luar negara serta pembabitan pameran tempatan dan luar negara.

“Invest Selangor turut menganjurkan program dialog bersama pelabur, lawatan kilang dan mengatur pertemuan dengan pelabur jika berlaku sebarang masalah.

“Turut dilaksanakan ialah penerbitan bahan promosi pengiklanan, penerbitan artikel dan buku panduan pelaburan,” katanya.

Dalam pada itu, menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Shamsudin Lias (BN- Sungai Burong) yang ingin tahu peluang pekerjaan yang berjaya diwujudkan di negeri ini, Chang Khim berkata, kerajaan negeri belum menerima statistik daripada MIDA berhubung perkara itu.

Berita Harian X