Selasa, 30 Julai 2019 | 3:15pm
Ibu pejabat Yayasan Sarawak.
Ibu pejabat Yayasan Sarawak.

Yayasan Sarawak agih baucar baju sekolah

BINTULU: Seramai 1,100 pelajar dari empat sekolah menengah dan 15 sekolah rendah di daerah ini menerima bantuan pakaian seragam sekolah dari Yayasan Sarawak, semalam.

Bantuan untuk sesi persekolahan 2020 itu disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi, di Dewan Serbaguna Sekolah Kebangsaan (SK) Tanjung Batu, di sini.

Majang berkata, bantuan pakaian seragam itu adalah inisiatif bijak Yayasan Sarawak dan Kerajaan Sarawak bagi membantu pelajar dalam kalangan keluarga berpendapatan rendah.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi.

“Setiap penerima bantuan diberikan baucar sebanyak RM200 untuk membolehkan mereka mendapatkan pakaian seragam sekolah di empat kedai terpilih.

“Bantuan ini diharap meringankan beban ibu bapa sekali gus mengelakkan anak mereka tercicir dari persekolahan,” katanya.

Majang berkata, Yayasan Sarawak menyediakan pelbagai bantuan pendidikan kepada pelajar yang layak sejak 1971 untuk memastikan anak penduduk negeri ini terutamanya di luar bandar mendapat pendidikan yang sempurna.

Ia termasuk bantuan persekolahan untuk pelajar sekolah rendah dan menengah, bantuan biasiswa untuk pelajar institusi pengajian tinggi serta pelbagai bantuan lain.

“Saya berharap bantuan seperti ini diteruskan pada masa hadapan dengan lebih banyak lagi penambahbaikan akan dibuat oleh Yayasan Sarawak bagi membantu dalam memperkasakan pendidikan di negeri ini,” katanya.

Berita Harian X