Jumaat, 26 Julai 2019 | 4:34pm
KAWASAN parit yang dijadikan sebagai tempat penduduk di Kampung Orang Asli Pucur mengepam air sebagai kegunaan harian mereka di Pekan Kahang. - Foto Adnan Ibrahim
KAWASAN parit yang dijadikan sebagai tempat penduduk di Kampung Orang Asli Pucur mengepam air sebagai kegunaan harian mereka di Pekan Kahang. - Foto Adnan Ibrahim

Perlu RM20,000 naiktaraf bekalan air, elektrik

KLUANG: Sebanyak 25 keluarga di Kampung Orang Asli Pucur di Pekan Kahang, di sini mengharapkan bantuan RM20,000 bagi menangani masalah kemudahan asas di kawasan penempatan mereka, terutama membabitkan bekalan elektrik dan air bersih.

Ketua Masyarakat, Semanggar Ahmad, berkata kehidupan 98 penduduk semakin tertekan akibat ketiadaan bekalan elektrik dan air, malah menyebabkan sebahagian mereka terpaksa menggunakan air parit untuk menampung keperluan harian.

“Kami sudah terlalu lama dibiarkan berhadapan masalah ini. Telaga tiub yang sebelum ini menjadi sumber bekalan air utama penduduk mengalami kerosakan pam sejak Jun tahun lalu.

“Set janakuasa yang membekalkan kuasa elektrik pula rosak lebih dua bulan lalu. Sudah banyak pihak yang datang ke kampung ini untuk meninjau masalah kami, namun sehingga kini tiada sesiapa yang menyelesaikan isu dihadapi,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada program ziarah kasih bersama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kahang, R Vidyananthan, di sini hari ini.

Semanggar ketika mengulas lanjut, berkata kerosakan pam telaga tiub memaksa penduduk berkongsi membeli pam sendiri untuk mengepam air, namun keupayaannya terhad dan memerlukan mereka mengeluarkan lebih wang untuk membeli diesel bagi menghidupkannya.

Berikutan itu, ramai penduduk mengambil air dari parit berhampiran kampung berkenaan yang diragui kebersihannya berikutan terhadap aktiviti perladangan kelapa sawit termasuk sebuah kilang di bahagian lebih tinggi di kawasan itu.

Mengenai bekalan elektrik, Semanggar berkata, ramai penduduk kini hanya berharap kepada pelita diesel untuk mendapatkan cahaya pada waktu malam.

“Ada pihak menyumbangkan sistem solar kepada kami beberapa tahun lalu, namun tidak dapat menampung keperluan ramai penduduk, malah baterinya hanya mampu bertahan selama satu hingga tiga jam sahaja setiap hari,” katanya.

Beliau berkata, Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator P Waytha Moorthy baru-baru ini turut meninjau masalah di kampung itu, namun sehingga kini penduduk belum mendapat makluman sama ada mereka akan dibantu atau sebaliknya.

“Kami masih tertunggu-tunggu tindakan semua pihak untuk membantu kami menyelesaikan masalah ini seterusnya meningkatkan kualiti hidup.

“Jika dikira, kos memperbaiki set janakuasa itu kira-kira RM5,000 dan pam telaga tiub (RM15,000). Kami berharap ada pihak yang sudi membantu,” katanya.

Berita Harian X