Jumaat, 19 Julai 2019 | 9:10am
Wabak chikungunya.
Wabak chikungunya.

Tiada lagi kes chikungunya di Alor Setar

ALOR SETAR: Penularan wabak chikungunya di deretan rumah kedai di Jalan Tunku Ibrahim, di sini tamat pada 10 Julai lalu, manakala di Simpang Kuala, di sini tamat 11 Julai lalu selepas Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Kota Setar tidak lagi menerima kes terbaru.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri (JKN), Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata jumlah keseluruhan kes itu kekal 37 dengan pesakit dilaporkan stabil.

Katanya, wabak yang berlaku harus dijadikan pengajaran betapa pentingnya setiap pemilik premis sama ada persendirian, agensi kerajaan dan swasta memastikan kawasan persekitaran bersih serta selamat daripada pembiakan nyamuk aedes.

“Hanya dengan melakukan pencarian dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk yang mengambil masa cuma 10 minit setiap minggu, kita dapat sama-sama membasmi pembiakan nyamuk aedes dan mencegah penyakit bawaan nyamuk aedes iaitu demam denggi, chikungunya dan zika.

“Penduduk tidak seharusnya melihat semburan kabus sebagai penyelesaian kepada isu pembiakan nyamuk. Selagi terdapat tempat-tempat berpotensi berlaku pembiakan nyamuk maka selagi itulah risiko jangkitan penyakit-penyakit bawaan nyamuk aedes akan berlaku,” katanya ketika ditemui di pejabatnya, di sini.

Mengulas lanjut, Dr Norhizan berkata, antara punca pembiakan nyamuk aedes juga disebabkan dari kawasan projek pembangunan yang sedang berjalan.

Katanya, kon oren serta pengadang atau pembahagi jalan yang digunakan boleh menakung air hujan dan jika dibiarkan akan menyebabkan berlaku pembiakan nyamuk.

“Sebab itu dalam Jawatankuasa Petugas Khas Denggi Negeri Kedah Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) turut memainkan peranan untuk memantau projek-projek pembangunan yang berisiko menyebabkan berlakunya pembiakan nyamuk aedes.

”Virus chikungunya boleh menyebabkan pesakit mengalami sakit sendi yang berpanjangan namun ia tidak menyebabkan kematian.

“Manakala demam denggi boleh menyebabkan kematian dan itu yang membimbangkan jika kita gagal mengesannya awal,” katanya.

Beliau berkata, untuk memastikan sebarang wabak penyakit dalam komuniti dikesan awal, pihak JKN menerusi Program Survelan Penyakit sentiasa memantau sebarang kejadian kluster kes dalam komuniti antaranya menilai sebarang khabar angin wabak penyakit termasuklah yang tular melalui media sosial.

Katanya, tanggungjawab mengenalpasti wabak di peringkat awal harus juga diambil oleh para doktor termasuk doktor swasta untuk melaporkan kepada PKD sekiranya ada pesakit-pesakit yang mendapat rawatan menunjukkan tanda dan gejala yang sama.

Sebelum ini , semasa kejadian wabak chikungunya di Alor Setar, siasatan PKD Kota Setar mendapati gejala demam chikungunya bermula pada 9 Jun lalu dengan kebanyakan pesakit menerima rawatan pesakit luar di klinik swasta sekitar Alor Setar dan JKN hanya mengetahui berlakunya wabak selepas ia viral di media sosial pada 22 Jun lalu.

Berita Harian X