Khamis, 18 Julai 2019 | 8:54pm
PAUS pembunuh. - Foto hiasan
PAUS pembunuh. - Foto hiasan

Nelayan diminta waspada dengan paus pembunuh

DUNGUN: Jangan dekati atau mengganggu paus pembunuh kerana ia boleh menyebabkan mamalia itu agresif.

Itu nasihat dikeluarkan Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang, Mohd Tamimi Ali Ahmad kepada nelayan, khususnya nelayan kecil susulan kewujudan sepasang paus pembunuh ditemui berdekatan pelantar minyak Dulang, kira-kira 170 kilometer dari pantai Kerteh.

Beliau berkata, spesies mamalia yang nama saintifiknya, Orcinus Orca itu adalah spesies liar dan berbahaya bukan sahaja kepada hidupan marin malah boleh mengancam nyawa nelayan kerana sifat pembunuhnya sangat tinggi.

“Paus itu memang ditemui di tengah laut tetapi kita bimbang ia tersasar ke kawasan berhampiran pantai dan mengancam keselamatan nelayan kecil.

“Selain nelayan kecil, kita juga menasihatkan kepada nelayan laut dalam supaya tidak mengganggu mamalia itu sekiranya terserempak kerana ia boleh menyebabkan haiwan itu bertindak agresif,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Mengulas kewujudan paus yang dianggarkan seberat lima tan itu, Mohd Tamimi berkata, spesies itu tidak ada di perairan negara.

“Ini penemuan pertama di perairan negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perikanan negeri, Zawawi Ali, berkata paus itu jarang ditemui di perairan Asia sebaliknya ia banyak dan membiak di kawasan Amerika Utara.

Katanya, paus itu bergerak dalam kumpulan namun ia mungkin sesat kerana mengikut makanan seperti burung laut dan akan kembali ke tempat asalnya serta hidup dalam kumpulan.

“Ikan paus itu termasuk dalam senarai spesies terancam dan jika ada yang menemuinya, kita meminta kerjasama untuk mengambil gambar dan memaklumkan kepada Jabatan Perikanan berhampiran,” katanya.

Semalam, sepasang ikan paus dianggarkan seberat lima tan ditemui di kawasan perairan berhampiran pelantar minyak Dulang, jam 12 tengah hari.

Paus itu dikatakan berenang pada kedalaman antara 76 hingga 80 meter dan menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi.

Katanya, berdasarkan rekod di FRI dan Jabatan Perikanan, paus berkenaan tidak pernah melintasi perairan negeri ini sebelum ini.

Berita Harian X