X
Rabu, 17 Julai 2019 | 9:10pm
SEBAHAGIAN PATI yang diperiksa dalam serbuan Ops Sapu di tapak pembinaan bangunan di Batu Rakit. NSTP/Zaid Salim
SEBAHAGIAN PATI yang diperiksa dalam serbuan Ops Sapu di tapak pembinaan bangunan di Batu Rakit. NSTP/Zaid Salim

Nekad terjun ke dalam lumpur elak ditahan

KUALA NERUS: Tiga buruh binaan warga Indonesia nekad terjun ke dalam lumpur bagi mengelak ditahan dalam serbuan di tapak pembinaan sebuah banglo di Kampung Padang Nenas, di sini hari ini.

Bagaimanapun, cubaan ketiga-tiga pendatang asing tanpa izin (PATI) meloloskan diri gagal selepas berjaya dicekup dalam operasi khas, Ops Sapu, kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi.

Ketika serbuan itu dilakukan, tiga lelaki berkenaan yang berusia antara 20 hingga 53 tahun sedang leka bekerja sebelum bertindak melarikan diri sejurus menyedari tapak pembinaan itu diserbu.

Ketua Bahagian Penguatkuasaan Imigresen Terengganu, Ahmad Salihin Salleh, berkata seramai 19 anggota terbabit dalam operasi selama tujuh jam itu, bermula jam 9 pagi tadi.

“Keseluruhannya, sembilan lokasi terbabit dalam serbuan hari ini, dengan kebanyakannya bertumpu kepada tapak pembinaan rumah persendirian, taman perumahan dan bangunan asrama yang dikenalpasti menjadi sarang PATI.

“Seramai 201 pekerja diperiksa, dengan 33 daripadanya, termasuk seorang wanita Indonesia berusia antara 20 hingga 60 tahun ditahan.

“Semua yang ditahan masing-masing terdiri daripada 13 warga Bangladesh serta masing-masing 10 orang warga Indonesia dan Myanmar,” katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.

Katanya, seramai 16 individu yang tidak memiliki dokumen pengenalan diri disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, manakala sembilan lagi disiasat mengikut Seksyen 15(1)(c) akta sama kerana tinggal lebih masa.

“Lapan individu lagi yang didapati melanggar syarat pas disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963. Semua yang ditahan dibawa ke Depot Tahanan Imigresen Ajil, Kuala Berang untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berita Harian X