Rabu, 17 Julai 2019 | 8:42am

Penduduk disyaki dijangkiti JE

KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) menerima satu notifikasi pesakit yang disyaki dijangkiti penyakit ​Japanese Encephalitis (JE) di Kampung Lubong, Tambunan.

Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Frankie Poon Fung Ming, berkata setakat ini JKNS masih menunggu keputusan ujian pengesahan kes berkenaan dari Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan Sungai Buloh.

Bagaimanapun katanya, susulan daripada notifikasi kes berkenaan, JKNS sudah melaksanakan tindakan kawalan iaitu aktiviti pengesanan kes, semburan kabus dan pemusnahan tempat pembiakan nyamuk.

“JKNS juga mengambil inisiatif menjalankan kempen pendidikan kesihatan di lokaliti sekitar kediaman rumah pesakit yang dijangkiti. JKNS juga melancarkan usaha pemusnahan tempat pembiakan nyamuk dan larvaciding meliputi 121 premis di daerah ini.

“Pendidikan kesihatan berkaitan penyakit JE juga sudah disampaikan kepada penduduk setempat sebagai langkah awal mencegah penyakit berjangkit berkenaan,” katanya dalam kenyataan media hari ini.

Frankie berkata, JKNS sudah memaklumkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar Negeri Sabah mengenai kes itu untuk tindakan segera termasuk pelaksanaan siasatan terhadap haiwan di sekitar kampung berkenaan.

“JE disebabkan oleh virus flavivirus yang boleh mengakibatkan gejala ‘viral encephaliti’. Khinzir dan burung liar adalah ‘natural reservoir’ dan virus JE disebarkan kepada manusia melalui gigitan nyamuk Culex.

“JE adalah endemik di kebanyakan negara di Asia seperti India, Thailand, Filipina, Kemboja, Vietnam dan Malaysia,” katanya.

Menurutnya, antara simptom penyakit JE adalah demam, sakit kepala, loya, muntah, perubahan keadaan mental, simptom neurologi, lemah dan gangguan pada pergerakan.

Sehubungan itu, Frankie menasihati masyarakat setempat yang mengalami tanda-tanda berikut supaya segera mendapatkan rawatan di hospital.

“Selain itu, amalan perlindungan diri seperti penggunaan penyembur serangga dan memakai pakaian cerah yang menutup anggota dapat mengurangkan risiko digigit nyamuk dan seterusnya jangkitan JE,” katanya.

Berita Harian X