Ahad, 14 Julai 2019 | 2:42pm
Salahuddin (tiga dari kiri) Arsit (dua dari kiri) meninjau kolam ternakan ikan yang menggunakan Sistem Perladangan Akuakultur Pintar (SAS) pada Majlis Pelancaran Projek Ternakan Ikan Laut dan Udang Kara PCB Biotech dengan kerjasama PPK Putatan di Putatan. - Ihsan PPK Putatan
Salahuddin (tiga dari kiri) Arsit (dua dari kiri) meninjau kolam ternakan ikan yang menggunakan Sistem Perladangan Akuakultur Pintar (SAS) pada Majlis Pelancaran Projek Ternakan Ikan Laut dan Udang Kara PCB Biotech dengan kerjasama PPK Putatan di Putatan. - Ihsan PPK Putatan
Kolam ternakan ikan menggunakan Sistem Perladangan Akuakultur Pintar (SAS) adalah satu kaedah baharu penternakan ikan mesra alam tanpa penggunaan bahan kimia dan tidak menyebabkan pencemaran serta menjimatkan kos dan masa yang terletak di Putatan. - Ihsan PPK Putatan
Kolam ternakan ikan menggunakan Sistem Perladangan Akuakultur Pintar (SAS) adalah satu kaedah baharu penternakan ikan mesra alam tanpa penggunaan bahan kimia dan tidak menyebabkan pencemaran serta menjimatkan kos dan masa yang terletak di Putatan. - Ihsan PPK Putatan

Putatan perintis Sistem Perladangan Akuakultur Pintar (SAS)

PUTATAN: Daerah ini menjadi perintis pelaksanaan Sistem Perladangan Akuakultur Pintar (SAS), satu kaedah baharu penternakan ikan mesra alam tanpa penggunaan bahan kimia, tidak menyebabkan pencemaran dan menjimatkan kos serta masa.

Teknologi baharu akuakultur berasaskan teknologi dari China, Jepun dan Australia itu sangat sesuai dikembangkan di kawasan berkeluasan terhad seperti di daerah ini berbanding kaedah penternakan biasa yang memerlukan kawasan luas untuk kolam ikan.

Kaedah akuakultur moden berasaskan teknologi nano itu menggunakan tangki bersaiz besar di bawah bumbung dan ia adalah yang pertama seumpamanya di negara ini dibangunkan PCB Biotech Sdn Bhd, sebuah anak syarikat Permodalan Capital Berhad (PCB) berpusat di daerah ini.

Pengerusi PCB Biotech Sdn Bhd, Datuk Arsit Sedi, berkata sistem SAS mampu memendekkan tempoh penternakan ikan, mengurangkan kadar kematian benih ikan, kerja penyelenggaraan dan penggunaan tenaga kerja.

Katanya, kelebihan itu membolehkan penternak menikmati hasil yang lebih tinggi dengan kadar antara 1.5 hingga dua kali ganda berbanding kaedah penternakan ikan yang biasa di kolam terdedah.

“Kaedah ini juga mampu melindungi alam sekitar kerana ia tidak menggunakan kolam tanah, sangkar di sungai atau laut seperti kaedah akuakultur biasa yang digunakan oleh nelayan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pelancaran Projek Ternakan Ikan Laut dan Udang Kara PCB Biotech dengan kerjasama Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Putatan yang disempurnakan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Salahuddin Ayub, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Datuk Uda Sulai dan Ketua Pengarah Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Azulita Salim.

Arsit berkata, kaedah akuakultur menggunakan sistem itu tidak memerlukan air yang terlalu banyak dan tidak menyebabkan pencemaran kerana tiada apa-apa bahan tambahan seperti antibiotik dan kimia farmaseutikal dalam air, sekali gus menghasilkan ikan yang sihat dimakan.

Katanya, air yang digunakan dalam tangki ternakan ikan juga tidak perlu ditukar berulang kali kerana air sedia ada boleh dikitar semula selepas dibersihkan menggunakan mesin khas yang melengkapi sistem berkenaan.

“Satu lagi kelebihan kaedah ini ialah ia dapat mengeluarkan ikan atau udang sepanjang tahun dan boleh memberi peluang perniagaan baharu kepada usahawan tempatan yang berminat menerokai aktiviti akuakultur dengan pulangan yang baik,” katanya.

Arsit yang juga Pengerusi Pertubuhan Peladang Kawasan Putatan, berkata projek itu menyasarkan pasaran China berikutan permintaan tinggi dengan harga yang baik di negara itu dengan sekilogram ikan kerapu hibrid mampu dijual sehingga RM60 sekilogram.

Hasil projek itu katanya turut memberi manfaat kepada PPK memandangkan RM1 daripada setiap kilogram ikan yang dijual apabila mengeluarkan hasil nanti akan diagihkan kepada pertubuhan berkenaan.

Sementara itu, Salahuddin berkata kementeriannya menyokong usaha membangunkan industri akuakultur menggunakan teknologi baharu kerana ia membolehkan industri perikanan negara terus berkembang, dapat menyediakan banyak pekerjaan dan menambah nilai eksport.

“Kita juga akan teliti apa keperluan mereka dan mereka juga boleh mohon bantuan, kita akan lihat sama ada dalam bentuk geran atau pinjaman kerana yang penting industri agro berkembang dan membesar untuk pertumbuhan ekonomi setempat dan negara,” katanya.

Berita Harian X