Sabtu, 13 Julai 2019 | 1:52pm
TIMBALAN Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau. - Foto Malai Rosmah Tuah

Sabah jadikan DKN 2030 panduan terus progresif

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah komited menjadikan Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030 panduan membangunkan bidang keusahawanan dan perindustrian di negeri ini.

Timbalan Ketua Menteri, Datuk Seri Madius Tangau, berkata bagi tujuan itu, pihaknya akan mendapatkan bantuan beberapa pihak untuk mengenal pasti cara terbaik melaksanakan DKN di Sabah.

“Kita sangat serius untuk menjadikan perindustrian antara tonggak kekukuhan ekonomi Sabah dan antara usaha ke arah itu ialah melaksanakan konsep ‘satu daerah satu industri’.

“Bagi menjayakan usaha ini, kita perlu mendalami dan menerapkan budaya keusahawanan.

“Saya yakin DKN boleh menjadi panduan kepada Sabah untuk terus progresif,” katanya dalam satu kenyataan, di sini.

Majlis pelancaran DKN 2030 disempurnakan oleh Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, di Kuala Lumpur pada Khamis lalu.

Madius yang juga Menteri Perindustrian dan Perdagangan Sabah berkata, DKN akan mewujudkan ekosistem keusahawanan yang holistik dan kondusif bagi menyokong agenda pembangunan ekonomi negara secara inklusif, seimbang dan mapan.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat membentuk masyarakat Malaysia yang memiliki pemikiran dan budaya keusahawanan seperti digariskan dalam DKN 2030.

“DKN juga akan meningkatkan bilangan usahawan yang berkualiti, berdaya maju, berdaya tahan, berfikiran global dan kompetitif.

“Selain itu, meningkatkan keupayaan usahawan tempatan serta industri kecil dan sederhana, di samping menjadikan keusahawanan kerjaya pilihan.

“Justeru, saya akan mengadakan perbincangan susulan dengan rakan dalam Kabinet negeri. Semoga usaha kita ini mendapat sokongan padu daripada semua,” katanya.

Berita Harian X