Jumaat, 12 Julai 2019 | 8:09pm
Timbalan Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Sim Tze Tzin menandatangani plak sebagai simbolik perasmian Pusat Informasi Padi Kampung Tambatuon, di Kota Belud. - Foto ihsan MOA

MOA sokong usaha IADA bangunkan padi organik di Kota Belud

KOTA BELUD: Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani (MOA) menyokong usaha Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud untuk membangunkan penanaman padi organik di Kampung Tambatuon, dekat sini.

Timbalan Menterinya, Sim Tze Tzin, berkata ia kerana padi organik bukan sahaja bagi pasaran tempatan, malah mendapat permintaan luar negara seperti Singapura, Hong Kong dan Australia.

“Dalam perjalanan ke Kota Belud tadi, saya ada berbincang dengan pengarah IADA dan beliau mempunyai banyak idea untuk membangunkan penanaman padi termasuk padi organik.

“Ini satu idea bagus kerana IADA mahu menjadikan tempat ini (Kampung Tambatuon) khas untuk penanaman padi organik.

“MOA akan bersama IADA Kota Belud untuk memajukan sektor penanaman padi di daerah ini, termasuk padi organik bagi membantu meningkatkan pendapatan petani,” katanya ketika merasmikan Pusat Informasi Padi Kampung Tambatuon di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Pembantu Menteri Pertanian dan Industri Makanan negeri, Dr Daud Yusof; Pengarah IADA Kota Belud, Salmah Labulla dan Ketua Kampung Tambatuon, Pitah Darusin.

Kampung Tambatuon yang terletak di kaki Gunung Kinabalu atau kira-kira 27 kilometer dari Pekan Kota Belud adalah antara lokasi disinggahi dalam program Kembara Media MOA selama tiga hari yang bermula hari ini.

Mengenai Pusat Informasi Padi itu, Tze Tzin berkata pembinaan pusat itu bukti kesungguhan kerajaan menerusi IADA Kota Belud dalam memastikan penyaluran maklumat terkini berkaitan pembangunan padi negara, disampaikan kepada golongan sasar.

“Diharapkan pusat ini menjadi nadi kepada penduduk Kampung Tambatuon menjalankan pelbagai program berorientasikan penyaluran maklumat mahu pun pemindahan teknologi setempat.

“Kerajaan Pakatan Harapan (PH) memang komited dengan apa dirancang IADA Kota Belud dalam membangunkan penanaman padi di daerah ini,” katanya.

Berita Harian X