Jumaat, 12 Julai 2019 | 4:34pm
ISMAIL Tawang (tiga dari kiri) memberi penerangan mengenai durian Cikgu Wei (CW) yang ditanamnya, di Kampung Lingai, Tepoh. - Foto Ahmad Rabiul Zulkifli

Durian Cikgu Wei setanding durian gred A

KUALA NERUS: Walaupun berlaku lambakan durian dari Johor di negeri ini namun permintaan terhadap durian Cikgu Wei (CW) tidak terjejas.

Durian CW yang dihasilkan sendiri Ismail Tawang, 73, atau lebih mesra dipanggil Cikgu Wei itu setanding durian gred A atau popular seperti Udang Merah, D101, Monthong dan Cheni dan kini menerima permintaan cukup menggalakkan.

Ismail berkata, pokok durian CW yang dihasilkan menggunakan teknik tertu daripada benih durian kampung terbabit kini sudah menghasilkan sebanyak 200 biji.

“Biarpun isi durian CW itu tidak kuning seperti Musang King atau Udang Merah, tetapi kualiti isinya lebih sedap daripada dua durian gred A itu.

“Kami sendiri pun tidak puas menjamah durian berkenaan kerana pelanggan sudah membuat tempahan awal, iaitu sejak ia mula berbunga lagi,” katanya ketika ditemui di kebun duriannya dekat Kampung Lingai di Tepoh, di sini, hari ini.

Ismail berkata, sebagai pemilik kebun durian sendiri, beliau tidak hanya menawarkan harga berpatutan tetapi kualiti durian juga terjamin.

“Jika durian yang dibeli tidak elok, mereka boleh menukarnya. Tidak hairanlah ramai peminat durian yang menjadi pelanggan tetap saya,” katanya.

Menurutnya, selain CW, dia mengusahakan pokok durian dari baka lain seperti Musang King, Udang Merah, D101, Monthong, Cheni dan terbaru Duri Hitam.

“Saya menghabiskan RM10,000 setahun untuk proses membaja, jadi, memang berbaloi apabila semua pokok durian berjumlah 50 pokok di tanah berkeluasan lapan hektar itu mengeluarkan buah berkualiti,” katanya.

Berita Harian X