Khamis, 11 Julai 2019 | 5:33pm
PENGARAH SWCorp, Zaidi Tuah (dua dari kanan) melihat longgokan sisa bahan buangan di Kampung Tanjung Besar, Jalan Kubang Rotan. - Foto Sharul Hafiz Zam

SWCorp kesan aktiviti pembuangan sisa pepejal

ALOR SETAR: Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah mengesan beberapa premis rumah kedai disyaki membuang bahan buangan di kawasan yang tidak dibenarkan di Kampung Batin, Mergong.

Pengarahnya, Zaidi Tuah, berkata kegiatan itu dikesan hasil pemeriksaan di kawasan terbabit sejak dua bulan lalu.

Katanya, kegiatan pembuangan sisa pepejal terbabit dipercayai sengaja dilakukan pihak tertentu di kawasan itu.

“Setakat ini, kita sudah mengenal pasti premis rumah kedai berkenaan dan siasatan terperinci akan dijalankan sebelum tindakan lanjut diambil.

“Kita bimbang ini akan menyebabkan pencemaran alam sekitar apatah lagi jika ia membabitkan sumber minuman yang dikhuatiri memudaratkan kesihatan penduduk.

“Aktiviti ini sengaja dilakukan oleh pihak yang mahu mengurangkan kos pembuangan di tapak pelupusan sampah yang dikenakan terhadap mereka sebelum ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media di Kampung Tanjung Besar, Jalan Kubang Rotan, di sini, hari ini.

Zaidi berkata, selain itu pihaknya juga turut mengesan beberapa lokasi lain yang dijadikan tempat longgokan sampah di lokasi tidak dibenarkan terutama berhampiran kawasan perindustrian di negeri ini.

Dalam pada itu beliau berkata, sebanyak tujuh kes termasuk individu dan syarikat di negeri ini sudah dikenakan tindakan dan didakwa atas kesalahan melonggokkan sisa pepejal serta memberikan kebenaran supaya sisa pepejal dilonggokkan secara haram.

Empat daripadanya sudah menerima hukuman di atas kesalahan yang dilakukan.

“Terbaru, sebuah syarikat persendirian didakwa di Mahkamah Seksyen Sungai Petani pada 9 Julai lalu ekoran dua kesalahan membenarkan sisa pepejal terkawal (sisa pepejal perindustrian dan sisa pepejal pembinaan) dilonggokkan di sebuah tanah persendirian di Sungai Pasir, Sungai Petani.

“Syarikat terbabit membayar kedua-dua denda itu yang berjumlah RM50,000 selain beberapa kes lain membabitkan syarikat berbeza yang sudah dijatuhi hukuman di mahkamah,” katanya.

Menurutnya, SWCorp kini sedang memantau aktiviti pembuangan sisa pepejal secara haram di negeri ini dan akan mengambil tindakan tegas sebagai langkah untuk meningkatkan tahap kesedaran orang ramai.

Berita Harian X