Selasa, 9 Julai 2019 | 8:52pm
Johari Musa (tengah) bersama penerima bantuan bergambar selepas Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Pencemaran Udara Zon Pasir Gudang, di Sekolah Agama Taman Mawar Pasir Gudang. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini

'RM3 selamatkan nyawa abang'

PASIR GUDANG: Ketika ramai memandang ringan wang RM3, seorang kanak-kanak melihat jumlah itu besar nilainya sebagai sumbangan menyelamatkan nyawa abang tersayang.

Iman Qayyum Idham Wazir, 9, tidak keberatan menyumbangkan duit belanja harian ke dalam Tabung Bencana Pencemaran Udara Zon Pasir Gudang yang dilancarkan oleh Pejabat Pendidikan Islam Johor Bahru pada 27 Jun lalu.

Tabung berkenaan bertujuan membantu murid dan pelajar terjejas termasuk abangnya, Irfan Wafiy Idham Wazir, 12, yang disahkan menghidap penyakit Myokimia susulan insiden pencemaran toksik dari Sungai Kim-Kim, Mac lalu.

Pegawai Pendidikan Islam Johor Bahru, Johari Musa (kiri) menyampaikan bantuan kepada Irfan Wafiy Idham Wazir (tengah) pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Pencemaran Udara Zon Pasir Gudang di Sekolah Agama Taman Mawar Pasir Gudang. - NSTP/Nurul Amanina Suhaini

Tindakan Iman Qayyum itu mengejutkan ibunya, Norlela Abu Hashim, 45, selepas dimaklum oleh pihak Sekolah Kebangsaan Taman Bukit Dahlia tempat dua beradik itu belajar.

“Alhamdulillah, saya bersyukur atas sikap prihatin masyarakat terhadap anak saya dan anak-anak lain yang terjejas akibat pencemaran itu.

“Saya lebih menumpukan kesihatan Irfan dan pendidikannya kerana peperiksaan percubaan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan berlangsung pada 15 Julai ini.

“Setiap hari Irfan mengambil pelbagai jenis ubat termasuk bagi menahan sakit.

“Walaupun letih, Irfan tidak pernah merungut malah gigih hadir ke sekolah kerana tidak mahu ketinggalan pelajaran,” katanya ketika ditemui pada Majlis Penyerahan Bantuan Tabung Bencana Pencemaran Udara Zon Pasir Gudang di Sekolah Agama Taman Mawar, dekat sini, hari ini.

Sementara itu, Pegawai Pendidikan Islam Johor Bahru, Johari Musa, berkata 47 murid dan 11 guru daripada sembilan sekolah agama menerima sumbangan tunai berjumlah RM6,400 menerusi Tabung Bencana Pencemaran Udara Zon Pasir Gudang.

Katanya, sumbangan yang dikumpul hasil kutipan murid dan pihak sekolah di sekitar kawasan itu adalah inisiatif bersama.

“Tabung yang dilancarkan adalah inisiatif Pejabat Pendidikan Islam Johor Bahru bagi memudahkan mangsa terjejas membeli kelengkapan pakaian sekolah untuk menggantikan seragam yang tercemar,” katanya.

Berita Harian X