Khamis, 4 Julai 2019 | 7:03pm
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak membuat lawatan dan siasatan di sebuah syarikat minyak dan gas di kawasan perindustrian Kampung Acheh, Sitiawan susulan kematian pekerja yang dihempap besi ketika sedang berkerja. - Ihsan JKKP

Pekerja maut dihempap besi, JKKP Perak keluarkan notis larangan

SITIAWAN: Dua notis larangan dikeluarkan kepada sebuah syarikat minyak dan gas (O&G) di kawasan perindustrian Kampung Acheh, di sini, berikutan kematian seorang pekerjanya yang dihempap besi ketika sedang bekerja dalam premis itu, semalam.

Pengarah Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (JKKP) Perak, Zamzurin Maarof, berkata siasatan pihaknya di premis syarikat itu, hari ini, mendapati majikan gagal mengadakan prosedur kerja selamat dan penaksiran risiko untuk kerja mengangkat secara manual ‘saddle bottom’ bagi tujuan pemasangan pada ‘jacket’ pelantar minyak.

“JKKP Perak bertindak mengeluarkan dua notis larangan kepada majikan, iaitu gagal mengadakan prosedur kerja selamat bagi kerja mengangkat bahan secara manual dan gagal menjalankan penaksiran risiko bagi aktiviti berkenaan.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian itu dan tindakan perundangan akan diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab jika didapati terdapat pelanggaran mengikut peruntukan Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan 1994,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas lawatan ke premis syarikat berkenaan, hari ini.

Zamzurin berkata, JKKP mengarahkan syarikat itu memberhentikan sementara waktu proses pembinaan ‘jacket’ pelantar minyak berkenaan sehingga siasatan selesai dilakukan dan majikan mengambil cadangan bagi penambahbaikan.

Kemalangan itu dilaporkan berlaku pada jam 3.35 petang semalam ketika kerja pemasangan ‘saddle bottom’ bagi ‘jacket’ pelantar minyak dengan menggunakan ‘webbing sling’ yang putus ketika proses untuk kerja kimpalan dijalankan.

“JKKP memandang serius setiap kemalangan membabitkan pekerja mahupun orang awam dan majikan mempunyai kawalan penuh ke atas sebarang aktiviti di tempat kerja,” katanya.

Beliau berkata, majikan bertanggungjawab untuk mengenal pasti terlebih dahulu bahaya di tempat kerja, membuat analisis risiko seterusnya mengadakan kawalan risiko yang berkesan sebelum pekerja menjalankan aktiviti kerja.

“Ini bagi mengurangkan risiko keselamatan ke atas pekerja dan mengelak berlaku kemalangan.

“Kejadian seumpama ini boleh dielakkan jika majikan melaksanakan penaksiran dan kawalan risiko yang komprehensif mengikut kaedah yang dinyatakan dalam Garis Panduan bagi Pengenalpastian Hazard, Penaksiran Risiko dan Kawalan Risiko (HIRARC),” katanya.

Semalam, media melaporkan, seorang lelaki berusia 29 tahun meninggal dunia selepas dihempap besi dianggarkan seberat satu tan ketika menjalankan pemasangan besi pelantar yang dipanggil ‘jacket’ di sebuah syarikat O&G di kawasan perindustrian Kampung Acheh.

Berita Harian X