Khamis, 4 Julai 2019 | 5:27pm
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA), Masturah Jamrah. - Ihsan JHEWA
Pengarah Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA), Masturah Jamrah. - Ihsan JHEWA

JHEWA anjur program kesedaran isu perkahwinan kanak-kanak

KOTA KINABALU: Jabatan Hal Ehwal Wanita Negeri Sabah (JHEWA) akan menganjurkan Program Kesedaran Isu Perkahwinan Kanak-Kanak di Ulu Sugut Ranau, pada 9 Julai ini.

Pengarahnya, Masturah Jamrah, berkata JHEWA memilih program itu diadakan di kawasan luar bandar memandangkan masalah dan isu perkahwinan dalam kalangan kanak-kanak banyak berlaku di pedalaman negeri ini.

“Ada segelintir masyarakat menjalankan perkahwinan tanpa melihat kepada batasan had umur seseorang gadis terutama kanak-kanak bawah umur 18 tahun, sekali gus menyebabkan perkahwinan tanpa melihat kepada fisiologi dan psikologi seseorang gadis itu.

“Justeru, dengan adanya program ini, JHEWA berharap dapat memberikan kesedaran dan pengetahuan kepada kanak-kanak, keluarga serta masyarakat mengenai isu perkahwinan kanak-kanak khususnya di negeri Sabah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Semalam, Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Jannie Lasimbang, berkata kerajaan akan bangunkan pelan tindakan undang-undang negeri dan membincangkan pindaan undang-undang dalam usaha menamatkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Sabah.

Jannie berkata, kementeriannya komited untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur di negeri itu dengan menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun dan pindaan undang-undang berkaitan dijangka dibawa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada Ogos ini.

Mengulas lanjut, Masturah berkata program itu juga akan dimanfaatkan bagi memberi panduan dan kemahiran kepada kumpulan sasar dalam memahami psikologi, personaliti, perkahwinan, undang-undang, kehidupan berkeluarga, kesihatan reproduktif, bimbingan serta kaunseling.

“Antara kumpulan sasar program ini ialah kanak-kanak berumur antara 13 hingga 17 tahun, ibu bapa, kaunselor, guru bimbingan dan kaunseling sekolah serta pihak berkepentingan yang berperanan sebagai fasilitator dan pemimpin masyarakat.

“Kami jangkakan 500 peserta akan menyertai program ini dengan lima sesi ceramah selain pembentangan kertas kerja.

“Ia termasuk Pengenalan Kepada Pelaksanaan Modul; Memahami Psikologi, Personaliti dan Perkahwinan; Perspektif Undang-Undang Terhadap Perkahwinan Kanak-Kanak; Pendidikan Kehidupan Berkeluarga dan Kesihatan Reproduktif serta Program Bimbingan dan Kaunseling,” katanya.

Sementara itu, Pembantu Menteri Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Norazlinah Arif, dijangka merasmikan program sehari yang akan berlangsung di dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Sugut.

Berita Harian X