Khamis, 4 Julai 2019 | 2:20pm

Syarikat korporat diharap terus keluar zakat

SHAH ALAM: Lembaga Zakat Selangor (LZS) akan mengambil pelbagai inisiatif bagi memastikan syarikat korporat di negeri ini kekal menunaikan kewajipan berzakat.

Ketua Pegawai Eksekutif LZS, Saipolyazan Mat Yusop, berkata itu adalah antara misi yang mahu dilaksanakannya selepas beliau dilantik menerajui LZS bulan lalu.

Katanya, antara agenda dalam perancangan inisiatif terbabit adalah menganjurkan program yang dapat mengekalkan kesetiaan syarikat korporat terbabit untuk terus menyumbangkan zakat mereka.

“LZS amat memerlukan pengeluar zakat daripada golongan korporat memandangkan asnaf dan fakir miskin di Selangor antara yang ramai di negara ini.

“Kita mendapati zakat yang dikeluarkan syarikat besar ini sudah banyak membantu LZS menyalurkan bantuan kepada golongan kurang berkemampuan,” katanya kepada BH hari ini.

Saifolyazan berkata, program yang dirancang nanti bukan sahaja memberi kesan positif kepada LZS, malah pengeluar zakat korporat juga akan menerima manfaatnya.

Katanya, Selangor antara negeri yang mempunyai bilangan asnaf fakir dan miskin tertinggi kira-kira 53,000 keluarga dan 5,992 orang mualaf, sekali gus pihaknya mempunyai tanggungjawab yang besar.

“LZS mahu pihak yang banyak membantu selama ini untuk terus kekal mengeluarkan zakat kepada kita dan berharap banyak lagi syarikat mengeluarkan zakat.

“LZS akan menumpukan kekerapan program dianjurkan supaya pengeluar zakat tahu ke mana pergi wang zakat mereka,” katanya.

Sementara itu, Saifolyazan berkata, bilangan individu yang mengeluarkan zakat secara terus kepada golongan kurang berkemampuan tanpa melalui LZS semakin berkurangan.

Katanya, pengurusan agihan LZS yang telus berjaya menyedarkan ramai pihak hingga akhirnya membayar terus zakat mereka kepada LZS.

“Cara ini terpulang kepada individu dan mereka merasakan cara mereka itu sampai terus kepada golongan sasaran.

“Bagaimanapun, apabila melihat agihan telus yang dibuat LZS membuatkan mereka tertarik dan terus datang ke LZS tanpa was-was,” katanya.

Berita Harian X