Rabu, 3 Julai 2019 | 8:13pm
Lelaki warga asing yang dicekup penguatkuasa MDKL ketika leka membuang sisa makanan di Jalan SP1, Bandar Saujana Putra. - Foto ihsan MDKL
Lelaki warga asing yang dicekup penguatkuasa MDKL ketika leka membuang sisa makanan di Jalan SP1, Bandar Saujana Putra. - Foto ihsan MDKL

MDKL tahan warga asing pengotor, sita kereta

BANTING: Tindakan seorang lelaki warga asing yang membuang sampah sisa makanan perniagaan di Jalan SP1, Bandar Saujana Putra di sini, Sabtu lalu mengundang padah apabila dia dicekup sepasukan Penguatkuasa Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL).

Malah, sebelum ini, majikan lelaki itu dikenakan tindakan notis kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil 3, Undang-Undang Kecil Penjaja MDKL 2007 kerana meninggalkan peralatan selepas waktu perniagaan.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid, berkata sepasukan anggota penguatkuasa yang melakukan intipan, menahan warga asing itu yang memandu kereta Proton Iswara, ketika membuang sisa makanan perniagaan di Jalan SP1 Bandar Saujana Putra.

Katanya, hasil intipan yang dilakukan bermula jam 12 tengah malam Sabtu lalu, sebelum anggota Penguatkuasa Cawangan Bandar Saujana Putra menahan lelaki itu pada jam 3.40 pagi, ketika dia membuang sampah tanpa menyedari perbuatannya sedang dirakam.

"Bagi kesalahan membuang sampah di tempat yang tidak dibenarkan, lelaki itu dikenakan notis kesalahan mengikut Undang-Undang Kecil 4, Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah Sarap MDKL 2007.

"Kereta itu disita mengikut Undang-Undang Kecil 21(1), Undang-Undang Kecil Pemungutan, Pembuangan Dan Pelupusan Sampah-Sarap MDKL 2007," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Mohamad Zin berkata, pihaknya turut mengambil tindakan terhadap majikan lelaki itu dengan menyita sebuah lori.

Katanya, pihaknya juga mendapati peniaga berkenaan tidak memiliki lesen perniagaan daripada MDKL.

Pada masa sama, Mohamad Zin turut melahirkan kekesalan terhadap pihak yang tidak bertanggungjawab dengan membuang sampah tanpa memikirkan kesan dan akibat terhadap alam sekitar.

Beliau berkata, MDKL tidak akan berkompromi dengan pihak yang mencemarkan alam sekitar dan tindakan lebih tegas akan diambil terhadap mereka termasuk mendakwa di mahkamah.

Berita Harian X