Rabu, 3 Julai 2019 | 4:18pm
PEMBANTU Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Jannie Lasimbang dan Wakil Timbalan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Radoslaw Rzehak hadir pada Bengkel Menamatkan Perkahwinan Bawah Umur 18 tahun di Sabah, hari ini. - Foto Edmund Samunting
PEMBANTU Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Jannie Lasimbang dan Wakil Timbalan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Radoslaw Rzehak hadir pada Bengkel Menamatkan Perkahwinan Bawah Umur 18 tahun di Sabah, hari ini. - Foto Edmund Samunting

Syor had umur perkahwinan 18 tahun

KOTA KINABALU: Kerajaan akan membangunkan pelan tindakan undang-undang negeri dan membincangkan mengenai pindaan undang-undang dalam usaha menamatkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur 18 tahun di Sabah.

Pembantu Menteri Undang-Undang dan Hal Ehwal Anak Negeri Sabah, Jannie Lasimbang, berkata kementeriannya komited untuk menamatkan perkahwinan kanak-kanak bawah umur di negeri itu dengan menaikkan umur minimum perkahwinan kepada 18 tahun.

Beliau berkata pindaan undang-undang berkaitan penetapan umur itu dijangka dibawa dalam persidangan Dewan Undangan Negeri pada Ogos ini.

“Dalam usaha ini, kita sudah memulakan usaha untuk merangka pelan tindakan negeri dengan pihak berkepentingan utama dalam bengkel tiga hari bermula 1 Julai.

“Kita juga mencari beberapa pemacu utama untuk pembaharuan undang-undang termasuk berkaitan undang-undang dan dasar, keibubapaan serta akses kepada pendidikan secara komprehensif.

“Tiada pengecualian dalam usaha ini termasuk untuk Mahkamah Anak Negeri, yang tidak mempunyai had umur dalam Enakmen Mahkamah Anak Negeri,” katanya pada sidang media sempena Bengkel Menamatkan Perkahwinan Bawah Umur 18 tahun di Sabah di sini hari ini.

Yang turut hadir, Setiausaha Tetap Kementerian, Faimin Kamin dan Wakil Timbalan Tabung Kanak-Kanak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) Malaysia, Radoslaw Rzehak.

Jannie berkata, walaupun usaha ke arah pembaharuan undang-undang itu mencabar tetapi kementerian akan bekerjasama dengan semua pihak berkepentingan lain termasuk badan bukan kerajaan (NGO) untuk menjayakannya.

Mengulas lanjut, beliau berkata kementerian akan mewujudkan satu pasukan petugas khas untuk membincangkan pindaan undang-undang, mengawasi pembangunan dan pelaksanaan pelan tindakan serta merangka strategi untuk menangani isu perkahwinan bawah umur di Sabah.

“Tugas ini memerlukan sokongan moral dan kerjasama daripada semua pihak dan kami akan meneruskan perundingan serta mendapatkan komitmen untuk memastikan kita dapat menghentikan perkahwinan bawah umur 18 tahun di negeri ini,” katanya.

Dalam perkembangan lain mengenai isu empangan air di Papar, beliau memberi jaminan kerajaan akan mengambil kira-kira hak peribumi.

Berita Harian X