Rabu, 3 Julai 2019 | 3:43pm
Wan Wahid (kiri) bersama Pengurus Besar Kanan Pusat Kutipan Zakat Pahang, Datuk Halidan Md Daud menunjukkan cara pembayaran zakat melalui telefon pintar pada majlis perasmiannya di Kuantan, hari ini. - NSTP/Farizul Hafiz Awang

218 individu terima surat peringatan zakat MUIP

KUANTAN: Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) sudah menghantar surat peringatan kepada individu yang dipercayai liat membayar zakat walaupun mencukupi syarat menunaikan kewajipan itu.

Sehingga kini seramai 218 individu menerima surat peringatan apabila gagal mengemukakan maklumat pendapatan tahun lalu.

Timbalan Yang Dipertua MUIP, Datuk Seri Wan Abdul Wahid Wan Hassan, berkata jika tiada maklum balas yang diterima, pihaknya akan mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

“Proses penguatkuasaan ini sudah dijalankan sejak April lalu bagi mendidik masyarakat untuk mengisytiharkan pendapatan supaya mereka dapat berzakat.

“Tindakan ini adalah jalan yang paling berkesan bagi memastikan mereka menunaikan kewajipan itu. Jadi, keputusan MUIP untuk menguatkuasakan enakmen berkaitan zakat ini adalah tepat,” katanya pada sidang media ketika sesi bersama media Pahang dan Jamuan Aidilfitri di sini, hari ini.

Beliau berkata, dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah 2013 di bawah Seksyen 24 (Enggan memberi taksiran pendapatan) dan Seksyen 40 (Tidak membayar zakat atau fitrah), jelas menetapkan setiap individu yang beragama Islam perlu mengemukakan maklumat pendapatan untuk semakan bagi pembayaran zakat.

Katanya, tahun lalu seramai 23,501 individu tidak mengembalikan maklumat pendapatan kepada Pusat Kutipan Zakat (PKZ), namun, jumlah terbabit akan disaring berdasarkan keterangan jawatan dalam pekerjaan.

“Tahun lalu kita melaksanakan Wajib Taksir Zakat (WTZ) di mana seramai 786 majikan menyerahkan nama kakitangan membabitkan 55,839 orang.

“Daripada jumlah itu, seramai 28,152 orang didapati tidak mempunyai rekod pembayaran zakat menyebabkan PKZ menghantar borang taksiran. Hasilnya, seramai 4,651 orang sudah membuat taksiran zakat,” katanya.

Wan Abdul Wahid berkata, tahun ini seramai 15,362 orang didapati tidak mempunyai rekod di PKZ dan pihaknya memberi tempoh sehingga 31 Julai ini untuk mereka mengembalikan borang taksiran zakat terbabit.

Berita Harian X