Ahad, 30 Jun 2019 | 2:22pm
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan.

3,992 kes ponteng sekolah dikesan

ISKANDAR PUTERI: Jabatan Pendidikan Johor mengesan 3,992 kes ponteng membabitkan pelajar sekolah rendah dan menengah sejak awal tahun ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi negeri, Aminolhuda Hassan, berkata daripada jumlah itu, 298 kes sudah diselesaikan melalui sesi bimbingan dan kaunseling kepada pelajar bermasalah.

“Pelajar terbabit (298 kes) sudah menunjukkan perubahan tingkah laku dan tidak mengulangi kesalahan ponteng lagi.

“Selebihnya (3,694 kes), masih dalam proses bimbingan dan kaunseling secara berterusan hingga akhir tahun persekolahan 2019,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Abd Taib Abu Bakar (BN-Machap) pada Persidangan Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor Ke-14, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Aminolhuda berkata, Jabatan Pendidikan juga melancarkan Program Ziarah Cakna Peringkat Negeri/Pejabat Pendidikan Daerah Sekolah-Sekolah di Johor pada 27 Januari lalu, bagi mengatasi masalah pelajar.

“Program Ziarah Cakna ini adalah lawatan guru ke rumah pelajar untuk bertemu ibu bapa atau penjaga bagi berbincang dan bertukar fikiran dalam mengatasi isu atau masalah anak mereka,” katanya.

Berita Harian X