Sabtu, 29 Jun 2019 | 5:34pm
ABDUL Yunus Jamhari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Aidilfitri TNB di Kampung Dew. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi
ABDUL Yunus Jamhari menyampaikan duit raya kepada kanak-kanak pada Majlis Aidilfitri TNB di Kampung Dew. - Foto Shaiful Shahrin Ahmad Pauzi

Laluan ke kawasan Kelip-kelip Kampung Dew akan dinaik taraf

TAIPING: Kerajaan Perak akan menaik taraf laluan masuk utama ke lokasi pelancongan Jeti Kelip-kelip Kampung Dew yang dikatakan agak suram dan terpencil biarpun berhampiran susur keluar Lebuhraya Utara Selatan (PLUS).

Pengerusi Jawatankuasa Kemudahan Awam, Infrastruktur, Pertanian dan Peladangan negeri, Abdul Yunus Jamhari, berkata walaupun lokasi Kampung Dew itu tidak jauh dari susur keluar tol Taiping Utara, tidak ramai yang mengetahui kedudukannya kerana tiada petunjuk manakala laluan masuk kelihatan suram dan tiada tarikan.

Sehubungan itu, katanya, pihaknya bercadang melakukan penambahbaikan prasarana di kawasan itu yang juga boleh menjadi daya penarik pengunjung ke situ khususnya pelancong asing.

“Seperti kita sedia maklum, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pernah datang ke sini bersama komuniti setempat dalam program menanam pokok berembang dan melepaskan benih udang galah sebagai usaha menjaga kelestarian kawasan ini.

“Jelas sekali hasrat beliau memilih kawasan ini untuk diketengahkan bukan sahaja sebagai tempat pemuliharaan kelip-kelip malah sebagai sebuah destinasi pelancongan negeri,” katanya.

Beliau bercakap pada sidang media selepas Majlis Aidilfitri Tenaga Nasional Berhad (TNB) bersama ketua-ketua komuniti dan pendayung di Pusat Pemuliharaan Kelip-kelip Kampung Dew, di sini hari ini.

Abdul Yunus berkata, bagi memastikan kawasan itu sentiasa dan terus mendapat kunjungan ramai termasuk pelancong asing, pembangunan infrastruktur di situ harus diutamakan.

“Berikutan kawasan ini agak terpencil, kita merancang membuat satu papan tanda besar dan menarik di jalan masuk utama jeti ini.

“Selain itu, jalan masuk yang agak kecil akan diperluaskan bagi memberi kemudahan kepada pengunjung di sini dan perkara ini kita akan bincangkan bersama agensi berkaitan termasuk Pihak Berkuasa Tempatan,” katanya.

Beliau berkata, maklumat lanjut mengenai infrastruktur yang akan dinaik taraf serta kos terbabit akan dibincangkan dengan semua pihak berkaitan terlebih dulu.

Berita Harian X