Jumaat, 21 Jun 2019 | 7:34pm
TUAN Nasir memangku anaknya Tuan Nur Batrisyia yang menghidap Hydrosephalus sambil diperhatikan isteri, Nur Suriati di rumahnya di Kampung Pulau Duyong. NSTP/Rozainah Zakaria
TUAN Nasir memangku anaknya Tuan Nur Batrisyia yang menghidap Hydrosephalus sambil diperhatikan isteri, Nur Suriati di rumahnya di Kampung Pulau Duyong. NSTP/Rozainah Zakaria

Tidak sanggup melihat penderitaan Batrisya

KUALA NERUS: “Kami tidak sanggup lagi melihat penderitaan dan kesakitan terpaksa ditanggung anak setiap kali menjalani pembedahan bagi membuang lebihan cecair di dalam kepalanya.”

Demikian luahan Nur Suriati Dakta, 39, ibu kepada Tuan Nur Batrisya Tuan Nasir, 5, yang menghidap Hydrocephalus atau kepala besar.

Nur Suriati berkata, doktor sudah mengesahkan bahawa penyakit Tuan Nur Batrisya sukar untuk sembuh dan kembali normal berikutan kepalanya semakin membesar selepas lebih tujuh kali melakukan pembedahan.

WAN Abd Rahman (kiri) menyampaikan bantuan keperluan harian kepada Tuan Nasir (dua kiri) bapa kepada Tuan Nur Batrisyia di rumahnya di Kampung Pulau Duyong. NSTP/Rozainah Zakaria
WAN Abd Rahman (kiri) menyampaikan bantuan keperluan harian kepada Tuan Nasir (dua kiri) bapa kepada Tuan Nur Batrisyia di rumahnya di Kampung Pulau Duyong. NSTP/Rozainah Zakaria

“Kami reda dengan ketentuan Ilahi dan sentiasa berdoa agar Nur Batrisya sihat serta bebas daripada masalah kesihatan lain,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menerima kunjungan Ahli Jawatankuasa Kelab Wartawan Media Terengganu (KAWAT) di kediamannya di Kampung Duyong Besar, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Presiden KAWAT, Wan Abdul Rahman Hayat.

Nur Suriati mengaku ada beberapa pihak bersedia membiayai kos rawatan anaknya itu, termasuk untuk menjalani pembedahan di luar negara.

Namun, katanya, beliau bersama suami, Tuan Nasir Tuan Dalam, 35, yang juga pekerja am di sebuah hotel, sepakat menolak tawaran terbabit kerana tidak lagi sanggup melihat kesakitan menjalani pembedahan yang terpaksa ditanggung kanak-kanak itu.

Beliau berkata, Tuan Nur Batrisya yang juga anak bongsu daripada dua beradik, dikesan mengalami masalah Hydrocephalus sejak kandungannya berusia tujuh bulan dan bukan selepas dilahirkan seperti didakwa sesetengah pihak.

“Kami terpaksa membawa Nur Batrisya menjalani rawatan homeopati di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), setiap bulan,” katanya.

Mengimbau kali pertama dimaklumkan doktor mengenai masalah kesihatan dialami Tuan Nur Batrisya ketika masih dalam kandungan, Nur Suriati berkata, tiada perkataan dapat menggambarkan perasaan sedihnya tetapi beliau tetap menguatkan semangat dan reda menerima takdir Allah SWT.

Selepas beberapa hari dilahirkan, beliau berkata, Tuan Nur Batrisya terpaksa dibedah bagi memasang tiup khas dari otak ke perut untuk mengeluarkan lebihan cecair di kepala bagi menghalang kepalanya daripada terus membesar.

“Walaupun tidak mampu bercakap dan bergerak seperti kanak-kanak sebaya, Nur Batrisya adalah anak yang baik, tidak banyak meragam dan mudah dijaga kecuali ketika sakit.

“Namun sejak beberapa hari lalu, Nur Batrisya kerap mengalami kekejangan saraf dan berjaga malam selepas pulang daripada menjalani rawatan homeopati di HSNZ,” katanya.

Nur Suriati berkata, mereka terpaksa membelanjakan sebanyak RM700 sebulan bagi menampung kos susu khas dan lampin pakai buang untuk Tuan Nur Batrisya.

“Dengan pendapatan suami sebanyak RM1,000 sebulan, kami terpaksa berjimat dan menggunakan wang untuk membeli keperluan harian serta barangan dapur secara ala kadar, selain menampung perbelanjaan persekolahan kakak Nur Batrisya, Tuan Nurbalqis, 7, yang berada dalam Tahun Satu di Sekolah Kebangsaan (SK) Duyong.

“Selain bantuan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM350 sebulan, Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM) turut menyalurkan bantuan perubatan sebanyak RM3,000 setahun,” katanya.

Beliau bagaimanapun memaklumkan kerusi khas diperlukan bagi membantu memudahkan kerja memandikan Tuan Nur Batrisya.

Dalam pada itu, Wan Abdul Rahman berkata, kerajaan negeri diminta mempertimbangkan bantuan kediaman kepada keluarga terbabit berikutan rumah didiami empat beranak itu adalah rumah pusaka dan tanah milik penduduk kampung.

Berita Harian X