Jumaat, 21 Jun 2019 | 9:27am
Nur Muhamad Faiz Haikal Mamat, 21 bersama dengan Fakhrul Azam Hashim, 21, (kiri) menunjukkan pokok kelapa Tacunan yang dijual pada harga RM25 sepokok kepada pelanggannya ketika ditemui di rumah di Kampung Pak Badol, Melur. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Nur Muhamad Faiz Haikal Mamat, 21 bersama dengan Fakhrul Azam Hashim, 21, (kiri) menunjukkan pokok kelapa Tacunan yang dijual pada harga RM25 sepokok kepada pelanggannya ketika ditemui di rumah di Kampung Pak Badol, Melur. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Dua sahabat jual anak pokok kelapa tacanun dalam talian

KOTA BHARU: Percubaan menjual anak pokok kelapa tacunan berasal dari Filipina menerusi dalam talian bagi mencari wang sampingan ternyata membuahkan hasil buat dua sahabat apabila usaha mereka mendapat perhatian ramai.

Lebih 700 anak pokok dijual dalam masa sebulan selepas mendapat permintaan daripada pelanggan seluruh Malaysia.

Nur Muhamad Faiz Haikal Mamat dan Fakhrul Azam Hashim yang masing-masing berusia 21 tahun mengambil langkah berani menjual anak pokok kelapa itu kerana terdapat peminat yang tersendiri terutama dalam kalangan pekebun dan petani.

Nur Muhamad Faiz berkata, mereka mempromosikan anak pokok terbabit melalui laman sosial seperti Facebook, Instagram dan aplikasi WhatsApp serta membuat iklan di laman Mudah.my.

“Kami menggunakan kemudahan teknologi masa kini dengan sebaiknya bagi memudahkan orang ramai mengetahui tentang jualan anak pokok kelapa tacanun dengan lebih cepat.

“Anak pokok kelapa tacunan diambil dari Thailand dan dijual pada harga RM25 sepokok. Selain itu kami turut menjual anak pokok kundang, durian belanda dan jambu madu yang diambil dari Thailand.

“Pelanggan biasanya akan mengambil sendiri anak pokok yang dibeli atau kami akan menghantarnya kepada pelanggan dengan bayaran bergantung kepada jarak penghantaran” katanya ketika ditemui di rumah di Kampung Pak Badol, Melur, di sini.

Fakhrul Azam Hashim, 21 (kiri) bersama Nur Muhamad Faiz Haikal Mamat, 21 melihat pokok kelapa Tacunan yang di tanam di Kampung Pak Badol, Melur. - Foto Nik Abdullah Nik Omar
Fakhrul Azam Hashim, 21 (kiri) bersama Nur Muhamad Faiz Haikal Mamat, 21 melihat pokok kelapa Tacunan yang di tanam di Kampung Pak Badol, Melur. - Foto Nik Abdullah Nik Omar

Nur Muhammad Faiz yang juga pemegang Sijil Kolej Komuniti (SKK) (M) Pastri dari Kolej Komuniti Jeli, berkata kelapa tacunan menjadi pilihan kerana pokoknya yang renek dan mampu menghasilkan 50 sehingga 100 biji buah selain memiliki rasa yang manis dan isi tebal.

Katanya, mereka juga akan menghantar anak pokok secara pos jika pelanggan luar daripada Kelantan.

“Malah, kami pernah menyewa lori untuk menghantar 350 anak pokok ke Johor. Satu kepuasan yang tidak dapat digambarkan buat kami apabila jualan mendapat permintaan tinggi selain berasa gembira jika pelanggan berpuas hati dengan produk kami.

“Biarpun di usia yang masih muda, namun saya percaya dengan usaha yang berterusan kami mampu menjadi usahawan berjaya dalam bidang pertanian.

“Alhamdulillah, kedua-dua ibu bapa kami memberi sokongan sepenuhnya dan sentiasa memberi dorongan dan nasihat untuk terus maju,” katanya.

Berita Harian X