Khamis, 20 Jun 2019 | 9:35pm
SEBAHAGIAN serpihan pesawat MH17 yang ditembak di Donetsk, Ukraine.
SEBAHAGIAN serpihan pesawat MH17 yang ditembak di Donetsk, Ukraine.

MH17: Russia perlu bertanggungjawab bekal senjata

KUALA LUMPUR: Ukraine menggesa Russia supaya bertanggungjawab terhadap tuduhan membekalkan senjata yang menembak jatuh pesawat MH17 pada 2014.

Kedutaan Ukraine di Malaysia dalam satu kenyataan hari ini berkata, Russia juga digesa memberi kerjasama dalam siasatan insiden itu seperti yang termaktub dalam Resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Hasil siasatan dan penemuan seperti yang diumumkan Pasukan Siasatan Bersama (JIT) semalam amat penting kerana mereka mengemukakan jawapan konkrit berhubung asal usul peluru berpandu BUK yang digunakan bagi menembak jatuh MH17 pada 17 Julai 2014.

“Malah, suspek utama sudah dikenal pasti dan mereka adalah bekas ejen Russia serta seorang rakyat Ukraine. Bagaimanapun siasatan masih belum menemukan siapa kru yang mengendalikan peluru berpandu BUK berkenaan,” katanya.

Menurut kenyataan itu, pendakwaan terhadap suspek seperti yang diumumkan JIT membuktikan Russia bertanggungjawab melanggar banyak konvensyen antarabangsa.

Russia sebelum ini sudah diberi banyak peluang bagi membantu siasatan antarabangsa berhubung MH17 sebaliknya hanya memanipulasikan fakta.

“Justeru, kami menggesa Russia supaya bertanggungjawab dan memberi kerjasama penuh kepada pasukan siasatan,” katanya.

Semalam, JIT MH17 mendedahkan empat suspek iaitu tiga dari Russia dan seorang dari Ukraine adalah dalang utama menembak jatuh pesawat malang itu.

Pada sidang media secara langsung di Belanda, semalam JIT turut menamakan semua suspek dikenali sebagai Igor Girkin, Sergey Dubinskiy, Oleg Pulatov dan Leonid Kharchenko, semuanya bekerja untuk agensi perisikan tentera (GRU) dari puak pemisah Republik Rakyat Donetsk (DNR) ketika kejadian.

Semua suspek akan didakwa di Mahkamah Jenayah Belanda (ICC), pada 9 Mac tahun depan.

Dalam tragedi 17 Julai 2014, pesawat MH17 milik Malaysian Airlines meletup di udara ketika terbang dari Amsterdam ke Kuala Lumpur di ruang udara timur Ukraine.

Semua 298 penumpang, sebahagian besarnya rakyat Belanda serta anak kapal terbunuh.

Berita Harian X