Isnin, 17 Jun 2019 | 5:50pm

RM100 untuk pemberi maklumat aktiviti sampah haram di Kuala Langat

BANTING: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menawarkan ganjaran wang tunai RM100 kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pembuangan sampah secara haram di kawasan pentadbiran pihak berkuasa tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertua MDKL, Mohamad Zain A Hamid, berkata pemberi maklumat akan diberikan ganjaran apabila pelaku yang dikenakan kompaun menjelaskan bayaran itu.

Beliau berkata, ganjaran hanya akan diberikan jika aktiviti membuang sampah secara haram itu dilakukan menggunakan kenderaan berat iaitu lori dengan muatan satu tan ke atas.

Katanya, pemberi maklumat perlu mengisi borang yang disediakan di Unit Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam, MDKL serta bersetuju menjadi saksi di mahkamah jika kes berkenaan dibawa ke peringkat perbicaraan.

“Sebagai pembuktian, pemberi maklumat perlu mengambil gambar, lokasi, nombor pendaftaran kenderaan, tarikh dan masa kesalahan itu dilakukan.

“Maklumat yang disampaikan kepada MDKL ini menjadi asas aduan yang pertama diterima (first-come basis) dengan mengambil kira maklumat yang lengkap, tepat dan sahih.

“Pemberian ganjaran kepada pemberi maklumat ini terbuka kepada warganegara Malaysia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, pembuangan sampah haram di sekitar daerah itu bukan sahaja memberi kesan negatif kepada kawasan pelancongan malah aduan kacau ganggu dan peningkatan risiko jangkitan penyakit bawaan vektor seperti leptospirosis, thyphoid dan taun yang dibawa lipas, lalat dan tikus.

Katanya, mentaliti serta sikap yang tidak bertanggungjawab itu amat mendukacitakan banyak pihak dalam usaha untuk memastikan penduduk menikmati kehidupan yang bersih serta terhindar daripada pencemaran alam sekitar.

“MDKL juga sentiasa dan akan meneruskan tenaga dan usaha bagi menangkap serta mendakwa mereka yang didapati membuang sampah haram.

“Tindakan maksimum tanpa kompromi ini diharap dapat membebaskan daerah ini daripada masalah pembuangan sampah haram.

“Justeru, diharapkan dengan tawaran ganjaran kepada pemberi maklumat dapat mengekang aktiviti pembuangan sampah haram,” katanya.

Berita Harian X