Jumaat, 14 Jun 2019 | 3:40pm
EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo pada sidang media di Georgetown, hari ini. - Foto Mikail Ong

Pembuangan sampah industri: MBPP, MPSP diarah ambil tindakan undang-undang

GEORGETOWN: Pihak berkuasa tempatan (PBT) digesa mengambil tindakan undang-undang terhadap dalang yang terbabit dalam pembuangan sampah dan sisa industri secara haram di negeri ini.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata ia bagi membendung dan memberi peringatan kepada pihak terbabit supaya tidak sewenang-wenangnya membuang sampah.

Katanya, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) dan Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) turut diarah menyediakan statistik merujuk kepada kilang haram dan kilang di bawah proses pemutihan secara holistik.

“Ini bagi membolehkan kerajaan negeri mengesan ke mana sampah termasuk plastik dan sisa industri itu akan dibuang.

“MBPP dan MPSP hendaklah sentiasa proaktif dalam membuat pemantauan ke atas kilang yang dikenal pasti bagi mengelakkan kegiatan ini berulang kerana ia jelas menjejaskan ekosistem alam sekitar,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Rabu lalu, kerajaan negeri dilapor sedang menyemak semula semua lesen dikeluarkan kepada kilang sisa plastik yang beroperasi di Pulau Pinang berikutan keputusan Kerajaan Persekutuan menetapkan 18 syarat baharu perlu dipatuhi pengurus kilang memproses sisa plastik sebelum pemberian lesen import (AP).

EXCO Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh, dilapor berkata kerajaan negeri akan mengambil tindakan tegas terhadap kilang memproses sisa plastik yang beroperasi secara haram di negeri ini.

Berita Harian X