Rabu, 12 Jun 2019 | 6:10pm
Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan. - NSTP/Zain Ahmed

RM3.8 juta baiki dua sekolah daif

BATU PAHAT: Dua sekolah daif di Parit Raja, di sini dan Parit Markom, Pontian menerima peruntukan RM3.8 juta untuk dibaikpulih tahun ini berikutan masalah serangan anai-anai dan pembentungan.

Dua sekolah berkenaan ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Paya, Parit Raja dan SK Parit Markom, Pontian.

Pengerusi Jawatankuasa Pendidikan, Sumber Manusia, Sains dan Teknologi Johor, Aminolhuda Hassan, berkata projek baik pulih akan dimulakan 17 Jun ini dan dijangka siap 1 Disember depan.

Katanya, proses baikpulih perlu disegerakan berikutan serangan anai-anai berkenaan mengancam keselamatan murid di kedua-dua sekolah berkenaan.

“Kerosakan pada dua sekolah itu berada pada skala tujuh yang memerlukan pembaikan segera dan pantas demi keselamatan murid.

“Jika dilihat pada bahagian siling sekolah SK Seri Paya, serangan anai-anai amat kritikal menyebabkan struktur siling serta dinding papan sudah runtuh.

“Selain dua sekolah ini,Jabatan Pendidikan Negeri Johor sudah menyenaraikan lima lagi sekolah di negeri ini yang memerlukan pembaikan, namun tidak seteruk dua sekolah yang sudah menerima peruntukan daripada Kementerian Pendidikan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Penyerahan Surat Setuju Terima (SST) Pembinaan Semula dan Menaiktaraf Sekolah Daif di SK Seri Paya, di sini hari ini.

Ia diserahkan oleh Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Infrastruktur Johor, Mohd Solihan Badri.

Hadir sama Pengarah Pendidikan Johor, Azman Adnan dan Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Johor, Mohamad Salleh Abu Bakar.

Sementara itu, Mohd Solihan berkata, JKR sebagai agensi pelaksana akan memastikan projek pembaikan dua sekolah berkenaan berjalan lancar.

“Saya akan memastikan projek ini siap mengikut jadual, selain mematuhi spesifikasi serta piawaian ditetapkan terutama dari segi mutu kerja dan bahan digunakan.

“Kontraktor yang berjaya mendapat projek di dua sekolah ini perlu memastikan mereka bersungguh-sungguh menyiapkan kerja pembaikan dengan segera, ” katanya.

Guru Besar SK Seri Paya, Zalela Sheran pula ketika ditemui menyatakan rasa syukurnya apabila sekolahnya menerima peruntukan segera untuk dibaikpulih.

Katanya, satu blok bangunan sekolah yang menempatkan bilik guru, bilik pendidikan khas, perpustakaan dan bilik darjah pemulihan tidak dapat digunakan sejak Mei lalu apabila siling bangunan berkenaan mulai runtuh.

“Seramai 32 murid Tahun Tiga juga kini terpaksa belajar di kantin sekolah sejak Mei lalu, manakala bilik guru terpaksa menumpang di makmal komputer,” katanya.

Berita Harian X