Rabu, 12 Jun 2019 | 5:30pm
Sebahagian hasil udang galah yang dipancing penduduk di Sungai Linggi berhampiran Pengkalan Kempas, Port Dickson, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Sebahagian hasil udang galah yang dipancing penduduk di Sungai Linggi berhampiran Pengkalan Kempas, Port Dickson, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Fenomena 'udang galah mabuk' cetus kebimbangan

PORT DICKSON: Penduduk berhampiran Sungai Linggi, di sini bimbang dengan fenomena ‘udang galah mabuk’ yang dipercayai akibat masalah pencemaran air di sungai berkenaan.

Penduduk mendakwa kejadian disebabkan pencemaran racun tuba yang digunakan pencari udang galah, selain kesan pencemaran kilang dari kawasan hulu Sungai Linggi.

Wakil penduduk, Md Isa Adam, 56, berkata kejadian itu merisaukan penduduk rata-ratanya nelayan yang menjadikan udang galah di sungai itu sebagai sumber pendapatan harian.

Nelayan menggunakan bot di Jeti Pengkalan Kempas untuk memancing udang galah di Sungai Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Nelayan menggunakan bot di Jeti Pengkalan Kempas untuk memancing udang galah di Sungai Linggi, Port Dickson, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

“Sejak kebelakangan ini, memang air sungai keruh. Saya tidak pasti apa punca sebenarnya tetapi saya difahamkan disebabkan oleh aktiviti perkilangan yang melepaskan bahan kimia ke dalam sungai.

“Malah, sikap tamak nelayan sendiri yang menggunakan racun tuba untuk mendapatkan hasil yang banyak. Ini menyebabkan air sungai tercemar dan mempunyai kesan toksik.

“Saya pernah mengambil udang galah dari sungai dan meletakkannya ke dalam kolam. Saya terkejut apabila melihat air kolam bertukar menjadi hitam dan terpaksa menukar air beberapa kali sebelum ia betul-betul jernih,” katanya.

Md Isa berkata, perkara itu sudah diadukan kepada pihak berkaitan bagi mencari jalan penyelesaian, namun tiada tindakan diambil.

“Kita berharap pihak yang berkenaan agar memeriksa dan memantau jika betul ada aktiviti seperti didakwa kerana membabitkan sumber pendapatan dan bekalan air penduduk. Kita tidak mahu insiden yang berlaku di Kuala Koh, Gua Musang berulang di sini.

“Kita juga bimbang udang galah yang dijual itu tercemar dan memberi kesan sampingan kepada kesihatan pengguna. Kesannya mungkin tidak nampak sekarang ini tetapi pada jangka panjang,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Negeri Sembilan, Norhazni Mat Sari mengesahkan menerima aduan dan sudah menjalankan siasatan.

Beliau berkata, data pengawasan Sungai Linggi semalam menunjukkan sungai berkenaan mengalami pencemaran kelas tiga.

“Berkaitan pencemaran sungai dari kawasan industri, setakat ini ia dalam kawalan JAS dan tiada pengeluaran (bahan kimia dari kilang) secara langsung kepada kes kematian ikan atau udang.

“Bagaimanapun, kes ini juga boleh dirujuk kepada Jabatan Perikanan untuk siasatan lanjut,” katanya.

Berita Harian X