Isnin, 10 Jun 2019 | 3:21pm
KEADAAN terkini Sungai Kim Kim selepas berlaku pencemaran sisa bahan toksik kira-kira tiga bulan lalu di Pasir Gudang. - NSTP/Hairul Anuar Rahim

Sungai Kim Kim kini keruh, dipenuhi sampah

PASIR GUDANG: Keadaan Sungai Kim Kim, di sini, yang disahkan selamat dan bebas daripada pencemaran sisa kimia berbahaya sejak hampir tiga bulan lalu kini bertukar cetek dan dipenuhi sampah sarap.

Tinjauan BH di Sungai Kim Kim termasuk di bahagian hulunya mendapati air sungai berkenaan keruh selain berwarna seperti teh tarik pekat.

Sungai berkenaan juga dipenuhi sampah sarap terutama plastik sampah yang tersangkut di beting pasirnya selain di bawah jambatan.

Penduduk Kampung Bukit Pulai, Nursatria Rabu, 34, yang juga nelayan berkata, golongan nelayan di kampungnya yang terletak di hulu Sungai Kim Kim itu tidak dapat turun ke laut sejak tiga bulan lalu.

Beliau berkata, ia berikutan Sungai Kim Kim menjadi cetek selepas ia dibersihkan daripada sisa kimia berbahaya dengan sebahagian besar selut dan tanah dasar sungai berkenaan terpaksa dilupuskan.

“Memang sudah tiada lagi bau gas beracun yang busuk sehingga membuatkan penduduk sakit selain air sungai yang dahulu hitam berikutan dicemari sisa kimia juga sudah hilang sejak tiga bulan lalu.

“Air sungai juga bertukar keruh dan berwarna seperti teh tarik selain dipenuhi sampah sarap yang hanyut dan tersadai di tengah sungai.

“Lebih memburukkan keadaan, Sungai Kim Kim menjadi cetek sehingga nelayan di sini gagal turun ke laut sejak tiga bulan lalu selepas ia dibersihkan daripada sisa kimia berbahaya, ” katanya kepada BH.

Pencemaran toksik di Sungai Kim Kim 7 Mac lalu itu menjejaskan hampir 6,000 penduduk termasuk pelajar sekolah sehingga 111 sekolah di Pasir Gudang, dekat sini, diarahkan ditutup sementara.

Sebanyak 900 tan tanah tercemar bersama selut dan 1,500 tan air tercemar daripada dasar sungai berkenaan juga terpaksa dikumpul sebelum dilupuskan oleh kontraktor yang dilantik kerajaan.

Sementara itu, seorang lagi penduduk kampung berkenaan, Rosilah Mansor, 56, berkata suaminya yang juga seorang nelayan terpaksa menumpang meletakkan bot di jeti Kampung Pasir Putih bagi membolehkannya turun ke laut.

“Di kawasan hulu Sungai Kim Kim ini sekarang sudah cetek menyebabkan nelayan tidak lagi boleh turun ke laut dari kawasan ini dan ia menjejaskan kami, ” katanya.

Berita Harian X