Ahad, 9 Jun 2019 | 12:59pm
AHLI Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang meninjau kuarters PDRM di Taman Kenanga, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim
AHLI Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang meninjau kuarters PDRM di Taman Kenanga, hari ini. - Foto Hairul Anuar Rahim

Parlimen Iskandar Puteri sumbang RM1 juta baiki kuarters polis

JOHOR BAHRU: Parlimen Iskandar Puteri menyumbangkan RM1 juta bagi membaik pulih kuarters Polis Diraja Malaysia (PDRM) di Tampoi, di sini.

Ahli Parlimennya, Lim Kit Siang, berkata peruntukan itu sebagai tambahan dana yang disalurkan Kerajaan Pusat bagi membaiki kuarters polis di Taman Kenanga, Melati dan Melur.

“Kerajaan Pusat sudah menyalurkan RM20 juta peruntukan bagi membaik pulih kerosakan di tiga kuarters polis yang menempatkan 960 keluarga di 1,148 unit kediaman.

“Walaupun RM1 juta bukanlah jumlah yang besar, saya harap ia dapat dimanfaatkan untuk membaiki kerosakan di tiga kuarters berkenaan. Sebanyak 188 unit kediaman lagi langsung tidak dapat digunakan kerana mengalami kerosakan yang teruk.

“Saya harap Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memohon peruntukan tambahan dalam Bajet 2020 bagi membaik pulih kesemua kuarters polis dengan sempurna, ” katanya selepas meninjau kuarters PDRM di Taman Kenanga, Melati dan Melur, di Tampoi, di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din.

Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata Polis Johor berterima kasih dengan peruntukan RM20 juta yang disalurkan Kerajaan Pusat dan akan memanfaatkannya bagi menaik taraf kuarters di Tampoi.

“Walaupun permohonan awal kami RM70 juta dan diberikan peruntukan RM20 juta, ia akan digunakan sebaik mungkin termasuk membaiki 188 unit yang rosak dan tidak boleh didiami itu.

“Ketika ini, proses tender sedang berjalan dan kerja membaiki kerosakan akan dilaksanakan selepas semuanya dimuktamadkan tidak lama lagi, ” katanya.

Berita Harian X