Sabtu, 8 Jun 2019 | 12:00pm
FOTO hiasan.
FOTO hiasan.

Kemurungan punca lelaki nekad bunuh diri

SIBU: Mayat seorang lelaki yang sudah mula reput, dengan kesan luka di dahi, ditemui dalam bilik tidurnya di salah sebuah rumah panjang di Matu, malam Rabu lalu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit, berkata Abdul Razak Abdullah @ Hendra Ak Pet, 33, ditemui dalam keadaan terlentang kira-kira jam 8 malam oleh bapanya yang memecahkan pintu bilik tidur selepas terhidu bau busuk.

“Bertindak atas maklumat, pasukan polis dari Balai Polis Matu dengan bantuan bot Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah 5 tiba di lokasi sekitar jam 12.10 tengah hari semalam untuk menjalankan pemeriksaan dan siasatan.

“Hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa di lokasi mendapati kesan luka dan darah. Pihak polis turut menemui tukul berada di tepi tangan mangsa,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Katanya, keluarga mengesyaki mangsa membunuh diri kerana kemurungan.

“Mayat dihantar ke rumah mayat hospital Sibu untuk tindakan lanjut.

“Hasil pemeriksaan ke atas mayat mangsa yang dijalankan oleh Dr Jeff Sia mendapati tidak terdapat kesan lebam atau kecederaan lain pada badan mangsa.

“Pemeriksaan juga mendapati tiada kesan pergelutan, hanya terdapat satu lubang di dahi dipercayai kesan hentakan benda tumpul,” katanya.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sehingga bedah siasat dilakukan,” katanya.

Berita Harian X