Selasa, 4 Jun 2019 | 11:29am
Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail. - Foto Edmund Samunting
Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail. - Foto Edmund Samunting

Klinik pakar di hospital Kedah tutup sempena Aidilfitri

ALOR SETAR: Perkhidmatan klinik pakar di hospital negeri ini ditutup sempena cuti Aidilfitri, bermula esok hingga Sabtu ini.

Pengarah Jabatan Kesihatan Kedah, Datuk Dr Norhizan Ismail, berkata klinik pakar berkenaan meliputi Hospital Sultanah Bahiyah (HSB), Hospital Sultan Abdul Halim, Hospital Kulim dan Hospital Langkawi.

“Sepanjang tempoh terbabit, Klinik Pesakit Luar (Hospital Tanpa Pakar) di Hospital Jitra, Hospital Kuala Nerang, Hospital Yan, Hospital Sik dan Hospital Baling turut ditutup.

“Perkhidmatan kecemasan dan trauma di semua hospital pula beroperasi seperti biasa,” katanya dalam satu kenyataan, di sini, hari ini.

Bagaimanapun, Dr Norhizan berkata, Klinik Kesihatan Bandar Alor Setar hanya beroperasi pada Hari Raya pertama bermula jam 8 pagi hingga 5 petang.

Klinik terbabit kemudian akan ditutup sebelum kembali beroperasi seperti biasa pada Ahad ini.

Beliau berkata, penduduk sekitar yang memerlukan rawatan ringan boleh ke klinik itu bagi mengelakkan kesesakan di HSB.

“Jika boleh, kita mahu Jabatan Kecemasan HSB menumpukan perhatian kepada kes kecemasan yang kritikal.

“Klinik Kesihatan Bandar Sungai Petani serta Klinik Kesihatan Bandar Kulim pula akan ditutup pada Aidilfitri pertama dan dibuka pada Hari Raya kedua bermula jam 8 pagi hingga 12 tengah hari.

“Kedua-dua klinik kesihatan ini akan ditutup pada 7 Jun (Jumaat) dan beroperasi seperti biasa hingga selepas waktu pejabat pada Sabtu,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Norhizan berkata, Klinik Kesihatan Kuah dan Klinik Kesihatan Padang Mat Sirat, Langkawi, akan ditutup pada Hari Raya pertama hingga ketiga sebelum kembali beroperasi seperti biasa mulai Sabtu ini.

Beliau berkata, Klinik Komuniti (sebelum ini Klinik 1Malaysia) turut ditutup selama dua hari bermula esok dan beroperasi semula seperti biasa pada Jumaat bermula jam 10 pagi hingga 10 malam.

“Hari ini, Klinik UTC Alor Setar serta Sungai Petani beroperasi hanya hingga jam 1 tengah hari dan ditutup selama hari dua hari bermula esok.

“Semua Klinik Pergigian (KP), termasuk cawangan di hospital juga tidak akan beroperasi bermula esok dan dibuka semula pada Ahad ini.

“Jika berlaku kecemasan, pesakit boleh mendapatkan rawatan di Unit Kecemasan Dan Trauma hospital berdekatan kerana perkhidmatan kecemasan pergigian ‘on-call’ beroperasi di setiap hospital,” katanya.

Berita Harian X