Isnin, 3 Jun 2019 | 12:56pm

Mantai Perdana tawar 38 tan daging, 380 lembu

SEREMBAN: Sebanyak 38 tan daging membabitkan 380 ekor lembu ditawarkan kepada orang ramai sempena program Mantai Perdana ke-11 yang dianjurkan kerajaan negeri, hari ini.

Menteri Besar, Datuk Seri Aminuddin Harun, berkata selain daging lembu, pengunjung juga ditawarkan pilihan produk salai, ayam, telur ayam, sayur-sayuran, santan segar serta pelbagai barang basah yang dijual pada harga lebih rendah berbanding harga pasaran.

Katanya, program itu dijangka akan memanfaatkan lebih 12,600 penduduk Negeri Sembilan yang kini sedang membuat persiapan sambutan Aidilfitri yang bakal menjelang Rabu ini.

“Kelainan mantai kali ini adalah ia diadakan serentak di 11 lokasi membabitkan semua daerah di Negeri Sembilan. Ia bagi mengurangkan kesesakan dan pengunjung tidak perlu beratur lama untuk membeli daging.

“Pada tahun ini, harga yang ditawarkan adalah sebanyak RM29 sekilogram bagi daging pejal iaitu lebih murah berbanding RM36 hingga RM38 sekilogram yang dijual pada harga pasaran.

“Harga bagi daging batang pinang pula adalah RM35 sekilogram berbanding RM40 di pasaran semasa manakala bagi tulang dan organ lembu adalah RM29,” katanya selepas merasmikan program Mantai Perdana 2019, di Masjid Dato Kelana Petra Lela Mohd Yusof, Sikamat, di sini.


Aminuddin melawat ke gerai jualan daging lembu sempena Program Mantai Perdana 2019 di Masjid Dato' Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman

Mengulas lanjut, Aminuddin berkata, program mantai kali ini menyaksikan penyertaan 24 peniaga dan setiap pengunjung dihadkan untuk membeli tiga kilogram daging lembu sahaja.

Sementara itu, tinjauan BH mendapati, pengunjung sudah mula beratur di khemah jualan seawal jam 8 pagi untuk mendapatkan daging murah itu.

Pesara tentera, Mohd Hamzan Borhan, 57, berkata pendekatan yang diambil kerajaan menganjurkan mantai di pelbagai lokasi membolehkan pengunjung membeli daging dengan lebih cepat.

“Dulu hanya dianjurkan di Paroi dan ini menyebabkan kawasan itu dibanjiri pengunjung, malah ada yang sanggup datang seawal Subuh. Keadaan itu mengakibatkan kami terpaksa menunggu lama untuk mendapatkan daging.

“Kini disebabkan ia juga dianjurkan di lokasi lain, keadaan tidak sesak dan lebih selesa. Saya juga tidak perlu menunggu lama,” katanya.

Peniaga, Shahir Jaafar, 42, menyifatkan harga yang ditetapkan kerajaan untuk menjual daging lembu adalah adil dan memberi situasi menang-menang kepada peniaga dan pembeli.

“Hari kami bawa 20 ekor lembu, baru jam 10 pagi dah habis separuh. Harga yang ditetapkan memang berpatutan kerana kos daging di luar adalah lebih RM30 (sekilogram).

“Justeru ini menghasilkan situasi menang-menang kerana ia menguntungkan pembeli dan tidak merugikan peniaga,” katanya.

INFO

Lokasi Program Mantai Perdana 2019

SEREMBAN

- Masjid Dato Kelana Petra Lela Mohd Yusof, SIkamat

- Tapak Pusat Komuniti dan Karavan (PAKAR), FAMA Paroi

- Pasar Blok E Nilai 3, Nilai

- Dewan Orang Ramai Dato Shahardin, Batu 8, Labu

PORT DICKSON - Tapak Pasar Tani, Batu 1

JEMPOL - Tapak Pasar Tani Kekal, Bandar Seri Jempol

REMBAU - Dewan Agora, Rembau

TAMPIN - Kompleks Arena Tampin

GEMAS - Dewan Besar Gemas

KUALA PILAH - Tapak Pasar Tani Kuala Pilah

JELEBU - Parkir Dewan D’Sury, Kuala Klawang

Suasana orang ramai beratur bagi mendapatkan bekalan daging lembu yang dijual dengan harga RM29 sekilogram sempena Program Mantai Perdana 2019 di Masjid Dato' Klana Petra Mohd Yusof, Sikamat, Negeri Sembilan. - NSTP/Iqmal Haqim Rosman
Berita Harian X