Sabtu, 1 Jun 2019 | 7:56am

Buta bukan penghalang untuk berdikari

MELAKA: Status Orang Kelainan Upaya (OKU) tidak menjadi penghalang kepada Salim Ibrahim, 55, yang cacat penglihatan untuk berdikari dan menikmati kehidupan normal seperti insan lain.

Malah, kekurangan dirinya bukan alasan untuknya tidak menyediakan juadah berbuka puas dan bersahur, selain meraikan Aidilfitri yang semakin hampir.

Salim ketika ditemui BH, berkata beliau juga tidak pernah menyesali hidup bersendirian sejak lebih 18 tahun lalu, terutama apabila perlu menyediakan sendiri keperluan diri, termasuk memasak dan membasuh pakaian.

Tinggal menyewa di kampung Pulau Kelapa, di sini, beliau menjelaskan tidak pernah walau sekali pun berasa janggal membuat segala kerja sendiri dan mampu menggoreng ikan atau memasak sambal ikan bilis dan menggoreng sayur untuk dinikmatinya sendiri.

SALIM berdikari bagi memenuhi rentetan perjalanan hidup dengan rutin harian memasak dan mengemas rumah sendiri walaupun cacat penglihatan di kampung Pulau Kelapa. NSTP/Nazri Abu Bakar
SALIM berdikari bagi memenuhi rentetan perjalanan hidup dengan rutin harian memasak dan mengemas rumah sendiri walaupun cacat penglihatan di kampung Pulau Kelapa. NSTP/Nazri Abu Bakar

SALIM berdikari bagi memenuhi rentetan perjalanan hidup dengan rutin harian walaupun cacat penglihatan di kampung Pulau Kelapa. NSTP/Nazri Abu Bakar
SALIM berdikari bagi memenuhi rentetan perjalanan hidup dengan rutin harian walaupun cacat penglihatan di kampung Pulau Kelapa. NSTP/Nazri Abu Bakar

“Pada saya, inilah rutin yang dilalui dan saya tidak menghadapi banyak masalah untuk menyediakan keperluan berkenaan.

“Sekadar untuk makan seorang, berapa banyak sangat yang perlu disediakan. Cukup seekor dua ikan goreng atau seketul dua ayam sambal atau memasak nasi dan air semuanya saya lakukan sendiri,” katanya.

Katanya, memang pada mulanya sukar untuk bertindak sendirian berikutan keadaan dirinya, namun lama kelamaan sudah menjadi kebiasaan di samping sudah mengetahui susun atur barangan di dalam rumah terbabit.

Baginya, beliau tidak berdepan kesukaran untuk menggunakan pisau bagi memotong sayur dan bawang atau keperluan lain berikutan sudah menjadi tugasannya.

Cuma, keperluan bahan mentah seperti ikan, daging dan sayur-sayuran dia perlu meminta jasa baik jirannya membeli di pasar berikutan keadaannya.

Namun, kehadiran peniaga yang menjual bahan basah menggunakan motosikal di kampung berkenaan juga turut memudahkannya untuk mendapatkan bekalan berkenaan.

Salim yang mengusahakan khidmat urut refleksologi di rumahnya menganggap rezeki ditentukan Tuhan, namun bersyukur masih mampu menampung kehidupan dan mengharungi hari mendatang.

Kisah sedih kehilangan ayah kandung yang terbabit kemalangan jalan raya ketika Salim berada di dalam Darjah 1 menyebabkan kehidupannya berubah berikutan terpaksa tinggal bersama ibu saudaranya.

Ketika menginjak usia 21 tahun pula, beliau diserang sakit mata yang kritikal menyebabkan hilang penglihatan, sekali gus dunianya terus ‘malap’.

“Daripada seorang yang aktif dan banyak terbabit aktiviti sukan dan kemasyarakatan, kini semua itu terpaksa dilupakan sejak menjadi buta,” katanya.

Berita Harian X