KEPALA BATAS: Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) perlu melaksanakan kerja naik taraf kemudahan dan infrastruktur awam di kawasan seliaannya selaras status Seberang Perai yang sudah diluluskan sebagai bandar raya.
Ketua Menteri, Chow Kon Yeow, berkata MPSP yang sudah mendapat kelulusan untuk dinaik taraf sebagai Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) juga perlu meningkatkan mutu perkhidmatan, manakala penyampaian projek juga perlu lebih berkesan kepada pembayar cukai.
“Sebagai bandar raya, sudah tentu tanggapan pembayar cukai untuk melihat kemudahan dan infrastruktur di Seberang Perai meningkat selaras status diperolehnya.
“Oleh itu, kerajaan negeri meminta MPSP meningkatkan mutu perkhidmatan dan menambahbaik projek seperti diharapkan pembayar cukai,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk mendapatkan status bandar raya bagi MPSP yang dibentangkan kepada Kabinet minggu lalu, sudah diluluskan.
Dalam pada itu, Kon Yeow, berkata pihaknya menyedari bahawa kerja naik taraf kemudahan dan meningkatkan infrastruktur di kawasan seliaan MPSP akan memerlukan perbelanjaan tinggi.
“Untuk melakukannya pasti sukar, namun kerajaan negeri akan membantu sekiranya perlu, selain akan meminta kerajaan Pusat untuk turut membantu dengan meluluskan projek sosial, ekonomi dan kemasyarakatan di Seberang Perai,” katanya.