Isnin, 20 Mei 2019 | 2:31pm

Semua PBT di Pulau Pinang bakal bertaraf bandar raya

BUKIT MERTAJAM: Kerajaan negeri menjelaskan Pulau Pinang bakal menjadi satu-satunya negeri yang semua pihak berkuasa tempatannya (PBT) bertaraf bandar raya.

EXCO Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jagdeep Singh Deo, berkata ia susulan kelulusan bagi menaik taraf Majlis Perbandaran Seberang Perai (MPSP) kepada Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) dikeluarkan Kerajaan Persekutuan.

“Hanya 13 daripada 155 PBT di Malaysia yang bertaraf bandar raya dan MPSP akan menjadi PBT ke-14 dalam senarai berkenaan.

“Malah, MPSP adalah PBT pertama dinaik taraf kepada majlis bandar raya selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) lalu.

“Bagaimanapun, pengumuman rasmi berhubung status MPSP sebagai majlis bandar raya akan dibuat selepas Aidilfitri setelah semua dokumen siap,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Semalam, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin mengumumkan permohonan kerajaan Pulau Pinang untuk mendapat status bandar raya bagi MPSP dibentangkan kepada Kabinet, minggu lalu, sudah diluluskan.

Beliau berkata, kerajaan negeri akan memuktamadkan keputusan calon Datuk Bandar bagi Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) selepas semua prosedur mengenainya selesai.

“Warga MPSP mempunyai tanggungjawab yang besar untuk mengekalkan pencapaian sedia ada selepas ia dinaik taraf sebagai MBSP.

“Ini menjadi perkara yang saya ingin tekankan. Rakyat akan mempunyai jangkaan lebih tinggi terhadap MBSP. Proses penyampaian perkhidmatan adalah perkara dititikberat dan perlu kita tingkatkan,” katanya.

Jagdeep (dua dari kiri) bersama Yang di-Pertua MPSP, Datuk Rozali Mohamud (tiga dari kanan) serta Datuk Bandar Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP), Datuk Yew Tung Seang (dua dari kanan) selepas sidang media di Menara MPSP, Bandar Perda, Bukit Mertajam. - NSTP/Rosli Ahmad
Berita Harian X