Sabtu, 18 Mei 2019 | 8:13pm

TV3 GBRR tawar pengalaman beli-belah baharu

KUALA LUMPUR: Orang ramai berpeluang merasai suasana bazar Ramadan yang berbeza menerusi penganjuran TV3 Grand Bazar Ramadan Raya (TV3 GBRR) 2019 di perkarangan Parkir B Stadium Nasional Bukit Jalil di sini.

TV3 GBRR beroperasi selama 20 hari bermula hari ini, anjuran Build Up Resources Sdn Bhd dan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, menawarkan pengalaman beli belah yang baharu kepada golongan pengguna serta peniaga.

Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, berkata TV3 GBRR menjadi pentas untuk membantu golongan peniaga terutama dalam kalangan B40.

“Biarpun ini tahun pertama penganjurannya, saya berharap acara ini dapat diteruskan pada tahun akan datang dan diadakan di lokasi sama kerana kawasan ini amat strategik.

“Saya juga berharap penganjur dapat memberi lebih banyak slot khas kepada golongan B40 untuk berniaga di bazar ini,” katanya ketika berucap merasmikan TV3 GBRR di sini, hari ini.

Syed Saddiq (tengah) bersama Mohd Azizan, Nini, tetamu terhormat serta barisan artis pada majlis pelancaran TV3 GBRR di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Syed Saddiq (tengah) bersama Mohd Azizan, Nini, tetamu terhormat serta barisan artis pada majlis pelancaran TV3 GBRR di Stadium Nasional Bukit Jalil. - NSTP/Zunnur Al Shafiq

Yang turut hadir, Pengarah Jualan dan Strategi Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Nini Yusof dan Pengarah Build Up Resources Sdn Bhd, Datuk Mohd Azizan Che Omar.

Pada majlis itu, Syed Saddiq turut menyampaikan sumbangan barangan keperluan dan baucer membeli-belah kepada penghuni rumah anak yatim terpilih.

Bersifat mesra rakyat dan merendah diri, Syed Saddiq mengenepikan protokol apabila memilih untuk duduk di meja anak yatim untuk berbuka puasa.

TV3 GBRR mempunyai 300 gerai yang beroperasi dengan sasaran 500,000 pengunjung setiap hari serta menjadi pentas peluang perniagaan bagi usahawan kecil dan sederhana (IKS).

Pelbagai tarikan pengunjung disediakan termasuk Rumah Melayu sebagai kawasan bersantai, solat berjemaah bersama pelajar tahfiz serta majlis berbuka puasa bersama anak-anak yatim.

Selain itu, antara tarikan utama GBRR adalah pemetaan imersif tiga dimensi yang dinamakan Mekar Ramadan, menggabungkan teknologi binaan dan visual elektronik.

Pengunjung pula tidak perlu bimbang mengenai keselamatan anak mereka kerana penganjur menyediakan laman mesra kanak-kanak iaitu taman permainan kembung, ketika ibu bapa mereka membeli-belah.

Syed Saddiq ketika berucap merasmikan TV3 GBRR di Bukit Jalil, hari ini. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Syed Saddiq ketika berucap merasmikan TV3 GBRR di Bukit Jalil, hari ini. - NSTP/Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X